AM > BERITA

PELAJAR TANPA TANGAN DAN SEBELAH KAKI TERIMA ANUGERAH INSPIRASI SPM 2023

23/06/2024 06:06 PM

JOHOR BAHRU, 23 Jun (Bernama) -- Lahir tanpa kedua belah tangan serta kaki kanan dan bergantung hanya pada kaki kiri untuk melakukan rutin harian tidak menjadi halangan buat How Xue Qi, 18, memperoleh A- bagi mata pelajaran pendidikan seni visual selain lulus semua subjek dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Kejayaan itu membolehkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya itu terpilih menerima Anugerah Insipirasi pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 Negeri Johor yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

Bersyukur dengan anugerah itu, Xue Qi berkata dia amat terhutang budi dengan pihak sekolah, guru, rakan serta keluarga terutama ibu bapa dan kembarnya How Xue Thing, 18, yang sentiasa membantu serta memberi dorongan. 

“Cikgu banyak bagi bantuan sebab saya melukis hanya guna kaki kiri dan semasa menunggu keputusan SPM saya takut juga kalau keputusan tidak bagus. Syukur lulus semua subjek dan mendapat A pada subjek yang saya minati.

“Saya memang minat melukis dan mewarna apa sahaja yang terlintas, semuanya datang dari hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Dalam majlis tersebut 60 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023 diberikan anugerah yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia akan menyambung pelajaran ke tingkatan enam di sekolah yang sama dan bercita-cita menjadi pereka hiasan dalaman rumah suatu hari nanti.

“Diharap kisah saya ini menjadi pembakar semangat kepada mereka yang senasib dan nasihat saya kepada mereka jalani hidup macam biasa, sentiasa gembira serta yakin dengan kemampuan diri,” katanya.

Penerima Anugerah Kecemerlangan bagi kategori Orang Asli, Anna Maria Ahmad, 18, yang memperoleh 5A dan 2B pula berkata dia berasa terkejut dan tidak menyangka akan mendapat keputusan yang baik sekali gus diraikan pada majlis hari ini.

“Saya gembira kerana hasil kerja keras membuahkan hasil dan semua ini juga hasil bantuan guru terutama ketika saya ketinggalan dalam pelajaran kerana ada masalah keluarga.

“Kunci pada kejayaan ini adalah banyak bertanya dengan guru dan rakan sekeliling sekiranya tidak faham. Saya juga banyak membeli buku untuk buat ulang kaji,” katanya yang memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual.

Pelajar SMK Taman Rinting itu berkata dia berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi seterusnya mengejar impian menjadi peguam berjaya suatu hari nanti.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan