AM > BERITA

Pelajar Tajaan Selangor Ke Timur Tengah Jangan Terpengaruh Fahaman, Politik Melampau

14/09/2024 04:16 PM

SHAH ALAM, 14 Sept (Bernama) -- Pelajar baharu tajaan Kerajaan Negeri Selangor serta persendirian yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dinasihatkan supaya tidak terikut dengan fahaman parti atau politik melampau di sana.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata terdapat kebimbangan disuarakan oleh mahasiswa baharu berhubung ajakan untuk menyertai beberapa gerakan politik serta fahaman oleh pelajar lama.

“Perkara tersebut dimaklumkan lanjutan lawatan saya ke Timur Tengah tahun lepas dan bila saya jumpa pelajar tahun pertama serta kedua, ramai menyuarakan kebimbangan.

“Mereka tidak seharusnya dibebankan dengan perkara demikian. Kita hantar belajar jadi tujuan mereka adalah untuk belajar sahaja. Kita minta juga pelajar-pelajar ini untuk berhati-hati kerana di luar negara memang terbuka (ada pelbagai fahaman),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Kursus Persediaan Pelajar Ke Luar Negara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2024 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. 

Mohammad Fahmi meminta pelajar yang mempunyai kesukaran berkaitan isu berkenaan memaklumkan kepada pegawai kerajaan yang telah ditugaskan di sana.

Sementara itu, Fahmi berkata sebanyak 81 bakal pelajar selesai mengikuti kursus persediaan ke Timur Tengah bermula 18 Ogos lepas, yang memberi penekanan penggunaan dan penguasaan komunikasi dalam bahasa Arab serta persediaan mental dan fizikal. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan