JKDM SELANGOR RAMPAS KERETA, DADAH, CECAIR NIKOTIN BERNILAI RM6.37 JUTA

19/09/2024 02:38 PM

KLANG, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) merampas kereta mewah, dadah, minuman keras, cecair nikotin dan televisyen bernilai RM6.37 juta dalam operasi berasingan di sekitar Pelabuhan Barat dan Utara dekat sini serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini. 

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah Norlela Ismail berkata menerusi Ops Longkai 2024 yang dijalankan pada Julai dan Ogos lepas, sebanyak 11 unit kenderaan import pelbagai jenis bernilai RM3.69 juta dirampas hasil serbuan ke atas gudang penyimpanan kenderaan di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat. 

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua kenderaan berkenaan dipercayai diimport dari negara Eropah dan Asia disimpan selama empat tahun dan pihak gudang serta pengimport gagal mengemukakan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

“Kenderaan import ialah barang larangan, importnya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import daripada MITI di bawah Butiran 3, Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Dalam kes berasingan, Norlela berkata JKDM turut merampas empat bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis ganja seberat 1,767 gram bernilai RM13,955 di Pusat Mel dan Kurier KLIA yang diikrar sebagai “chinese tea”, "thai tea", "premium thai tea" dan cenderamata bagi mengelak dikesan JKDM. 

“Hasil pemeriksaan terhadap empat bungkusan kurier itu menemukan dadah dipercayai jenis ganja. Dagangan telah disita dan dibawa balik ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut,” katanya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, JKDM menerusi pemeriksaan berasingan tiga buah kontena di Pelabuhan Utara pada 2 dan 4 Sept menemukan minuman keras bernilai RM1.15 juta dan cecair nikotin seberat 13,100 kilogram bernilai RM1.31 juta. 

Norlela berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua barangan berkenaan tidak mempunyai permit import. 

“Bagi kes minuman keras, dagangan telah diikrarkan sebagai Mirror Cabinet and Accessories di dalam manifes manakala cecair nikotin diikrarkan sebagai disinfectant bagi mengaburi JKDM,” katanya. 

Norlela berkata pihaknya turut merampas 934 unit televisyen bernilai RM200,343 kerana tidak mempunyai permit import setelah pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada 5 Sept.  

Kesemua kes kecuali kes dadah disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan