AM > BERITA

Tabung Kasih Johor-palestin 2.0 Capai Sasaran Rm2.5 Juta

20/09/2024 11:41 AM

KLUANG, 20 Sept (Bernama) -- Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 yang dilancarkan Julai lepas mencapai sasaran kutipan RM2.5 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Mohd Fared berkata dana itu antara lain dapat membantu usaha menyediakan makanan untuk 15,000 rakyat Palestin bagi tempoh 30 hari di Gaza.

“Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) juga ada mengarahkan supaya tabung ini berterusan kerana seperti yang diketahui makanan di kem pelarian sangat sikit.

“Jadi kita syorkan (semua pihak) untuk terus menderma supaya kita boleh hantar sumbangan setiap bulan bagi membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Semarak Subuh dan Solidariti Palestin di Masjid Jamek Taman Kasih dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Onn Hafiz dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Beliau berkata bantuan itu akan dihantar menggunakan jalan laut dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

Mengenai program hari ini, Mohd Fared berkata program yang menghimpunkan lebih 3,500 jemaah itu bertujuan membantu rakyat Palestin yang berdepan kezaliman rejim Zionis Israel, tanpa mengira atau mempunyai ideologi politik.

Terdahulu, Onn Hafiz turut meninjau proses pembungkusan barangan bantuan untuk rakyat Palestin   selain melepaskan peserta ‘Walk For Palestin’ yang melibatkan laluan 1.5 kilometer sekitar masjid.

Sementara itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (lMAHAR) yang juga Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari berkata bantuan Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 juga melibatkan pemberian khemah, barangan keperluan asas selain makanan panas di kem rakyat Palestin. 

“Untuk hari ini kita dapat melihat pembungkusan barangan terdiri dua jenis pek iaitu 2,000 pek kit kebersihan diri dan 2,000 pek keperluan bayi termasuk lampin pakai buang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan