AM > BERITA

Banjir: PPS Penuh, Keluarga Aminah Buat Khemah Atas Ban Sungai

20/09/2024 11:30 AM

JITRA, 20 Sept (Bernama) -- Susulan kapasiti pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir yang terdekat penuh mendorong keluarga Siti Aminah Md Isa mendirikan khemah di atas ban sungai berhampiran rumah mereka yang ditenggelami banjir di Kampung Padang Teja dekat sini, sejak empat hari lepas. 

Siti Aminah, 71, berkata dia sekeluarga berat hati berpindah ke PPS alternatif setelah PPS Lubuk Batu yang lebih dekat penuh kerana akan menyukarkan untuk meninjau kawasan rumah susulan jarak agak jauh iaitu hampir 10 kilometer.

"Air mula naik pada petang Selasa lepas, mujurlah anak-anak ada pulang bercuti di kampung, merekalah tolong selamatkan barang-barang penting dalam rumah.

"Pusat (PPS) yang dekat pula penuh jadi anak-anak makcik ambil keputusan buat khemah depan rumah. Depa beli khemah kanvas untuk dijadikan tempat kami berlindung," katanya kepada pemberita di Kampung Padang Teja dekat sini hari ini.

Warga emas itu berkata walaupun berasa agak janggal ketika bermalam di dalam khemah kerana tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, suasana bertukar ceria kerana ditemani anak-anak serta cucu-cucunya.

Siti Aminah berkata keadaan tidaklah terlalu menyulitkan memandangkan bekalan air bersih serta elektrik masih ada selain boleh menumpang tandas rumah jiran yang tidak dinaiki air.

Menantu kepada Siti Aminah yang pulang bercuti dari Shah Alam, Selangor, Kahar Kamarudin, 46, berkata ibu mentuanya bernasib baik kerana banjir berlaku ketika dia dan isteri serta keluarga kakak iparnya dari Pulau Pinang sedang bercuti di kampung.

"Mujurlah ramai ada, jadi boleh sama-sama bina tempat berteduh selagi rumah masih ditenggelami air banjir. Kalau tidak hanya emak dan adik ipar saja yang tinggal di sini.

"Sejak beberapa hari lepas memang hujan lebat lain macam, kami dah tak lena tidur sebab bimbang. Sebelum ini kalau hujan, air tak naik, tapi kali ini naik lebih kurang macam banjir besar 2010 dulu," katanya yang bercadang menyambung cuti jika keadaan banjir semakin serius.

Walaupun tidak berpindah ke PPS, keluarga Siti Aminah berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan sebarang bentuk bantuan memandangkan rumah mereka turut terjejas.

Setakat 8 pagi tadi jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke 36 PPS di seluruh negeri ini seramai 6,087 orang melibatkan 1,942  keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan