POLITIK > BERITA

PRK MAHKOTA: AMANAH BIDAS TINDAKAN PECAH BELAH KERJASAMA KERAJAAN PERPADUAN

20/09/2024 01:42 PM

KLUANG, 20 Sept (Bernama) -- Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan membidas tindakan pemimpin pembangkang yang memainkan isu penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan memecahbelahkan kerjasama erat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan calon wakil Kerajaan Perpaduan iaitu Syed Hussien Syed Abdullah dari BN.  

"Walaupun kami pernah mengutarakan (penubuhan) Kerajaan Perpaduan di Johor tetapi kami memahami bahawa kami ada pemimpin lebih tinggi di peringkat kerajaan Persekutuan bukan sahaja dari Amanah tetapi dari PH iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami melihat perkara lebih besar iaitu kerajaan Persekutuan. Lebih penting untuk kita jaga dan pastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat terus kukuh sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Sebab itu, kita mengambil pendekatan ada kerjasama di  Johor walaupun (kerajaan Perpaduan) belum lagi wujud," katanya.

Aminolhuda berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ceramah berkelompok Perpaduan di sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Bersatu Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan mencabar Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Johor sekiranya BN mengekalkan kerusi DUN Mahkota pada PRK itu.

Semua 11 ahli Exco kerajaan Johor yang dilantik selepas Pilihan Raya Negeri pada 2022 yang berlangsung sebelum PRU ke-15, adalah daripada BN. Kerjasama antara BN dan PH di peringkat Persekutuan bermula selepas PRU lepas.

Selain itu,  Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading mempersoalkan bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi PRK DUN Mahkota sedangkan pembangkang sendiri telah menolak Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan daripada kerajaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini menyatakan ketetapan mereka menolak dua draf MoU antara kerajaan dengan pembangkang kerana mendakwa ia mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli Parlimennya.

PRK Dun Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon PN Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan