POLITIK > BERITA

PENOLAKAN MOU BUKTI PN MASIH BERPEGANG PADA POLITIK TIDAK PROGRESIF

17/09/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, membuktikan ia masih berpegang kepada pendekatan politik lama yang tidak progresif.

Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Onn Abu Bakar berkata dalam dunia politik yang dinamik, Ahli Parlimen harus bersikap pragmatik, lebih fleksibel dan terbuka kepada pendekatan baharu yang dapat memastikan pentadbiran lebih baik dan efisien, terutama ketika negara berdepan cabaran besar dalam ekonomi dan kestabilan politik.

Namun Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata keengganan PN dalam menerima MoU berkenaan menunjukkan mentaliti yang jumud dan tidak bersedia untuk melakukan anjakan paradigma.

“Negara kita memerlukan ahli politik yang terbuka kepada reformasi dan bersedia untuk meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan.

“Jika PN benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat, mereka sepatutnya menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan suasana harmoni di Dewan Rakyat dan membolehkan semua Ahli Parlimen berperanan lebih konstruktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan PN menolak cadangan MOU itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.

Menyifatkan tindakan itu sebagai mengecewakan, Onn berkata penolakan tersebut juga bermakna PN menolak peruntukan khas diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen mereka, yang sepatutnya digunakan untuk membantu penduduk di kawasan masing-masing.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan keengganan PN dalam mengisytiharkan harta, yang menjadi antara syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan Ahli Parlimen pembangkang mendapat peruntukan seperti dituntut.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan keengganan PN untuk mengisytiharkan harta, yang didakwa sebagai antara syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan Ahli Parlimen pembangkang menerima peruntukan seperti yang dituntut.

“Hal ini telah mencetuskan tanda tanya mengenai komitmen mereka terhadap ketelusan, walhal ketelusan adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap pemimpin,” katanya.

Justeru, Onn menyeru semua pihak khususnya pembangkang agar meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan menerima MoU itu sebagai langkah untuk membina politik yang lebih matang dan telus demi keharmonian rakyat dan pembangunan negara.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan