AM > BERITA

MCMC Tidak Terima Aduan Mengenai Produk Gisbh Di Media Sosial - Fahmi

20/09/2024 02:03 PM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini tidak menerima sebarang aduan berhubung produk perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang dipasarkan di platform media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

"Kebiasaannya, sekiranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat ada keperluan menurunkan sebarang kandungan atau isu berkaitan hak cipta dan kepenggunaan, mereka melalui Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh meminta agar kandungan diturunkan.

"Tetapi setakat ini, saya tidak menerima aduan melalui MCMC mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan untuk menurunkan hebahan atau produk-produk perniagaan GISBH di platform media sosial ekoran siasatan yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 11 Sept lepas, PDRM melancarkan Op Global dengan menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kemudian menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan