AM > BERITA

N. Sembilan Harap Ada Ketetapan Jelas Mengenai GISBH - Aminuddin

20/09/2024 09:08 PM

SEREMBAN, 20 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan berharap pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan membuat ketetapan yang jelas mengenai segala perkara berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) Sdn Bhd.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini bagi memastikan orang ramai dapat memahami dengan jelas tentang perkara itu, sekali gus tidak mengeluarkan kenyataan mengikut pandangan masing-masing sehingga boleh menimbulkan pelbagai kekeliruan.

“Jadi rakyat menunggu, kalau lihat media sosial, macam-macam kenyataan dibuat orang ramai, jadi saya harap ada kata putus atau kenyataan tegas daripada kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berkepentingan tentang Islam mengenai GISBH.

“Ini kerana kita nak lihat apa sebenarnya berlaku, kita mahu rakyat memahami apa yang berlaku di negara kita...kita patuh kepada satu pandangan daripada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat rekreasi Snowlim Wonderland Malaysia di sini hari ini.

Aminuddin berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memantau dan meneliti operasi GISBH di negeri ini selain turut menerima pandangan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan Peguam Syarie Negeri Sembilan berkaitan isu tersebut.

“Namun saya nyatakan saya masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Pihak berkuasa negeri juga sedang jalankan penelitian, jadi kalau ada keputusan, itu lebih baik,” katanya.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki, 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan