AM > BERITA

Usul, Dapatan Bengkel TEH2024 Diangkat Untuk Pertimbangan Kerajaan - HDC

20/09/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Semua isu yang dikemukakan berserta usul tindakan dan dapatan hasil daripada Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 (TEH2024) akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH).

Menurut kenyataan Halal Development Corporation Berhad (HDC), TEH2024 yang berlangsung dua hari mulai hari ini di sini berjaya meraih penglibatan lebih 15 kementerian dan 151 wakil pertubuhan bagi menghasilkan suatu perbincangan yang amat produktif mengenai peranan serta masa hadapan industri halal negara.

"Melalui pendekatan perundingan terhadap pihak berkepentingan, ia membantu merangka dan mengkaji semula dasar-dasar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan perdagangan, pembangunan industri yang mampan dan pelaburan berkualiti," menurut kenyataan HDC di sini hari ini.

Bengkel TEH2024 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ia merupakan inisiatif MPIH dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Menurut HDC, bengkel TEH2024 menyaksikan perbincangan dan pertukaran pandangan antara wakil-wakil pertubuhan perniagaan industri Malaysia serta dewan perniagaan kebangsaan dan antarabangsa berkaitan strategi penyelesaian terbaik dalam memperkukuh ekosistem halal perdagangan dan pelaburan negara.

Ahmad Zahid dalam ucapannya menzahirkan pencapaian keseluruhan pembangunan industri halal dari segi prestasi penghasilan produk, pelaburan dan perdagangan serta menekankan empat fokus utama iaitu dasar halal negara, pusat penyelidikan dan inovasi, pensijilan halal serta akademi halal Malaysia.  

Beliau juga mengumumkan bahawa mulai tahun hadapan, September akan dijadikan sebagai bulan mempromosikan produk dan perkhidmatan halal tahunan.

"Semasa sesi bengkel TEH2024, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan mengenai keperluan penyelarasan kesemua pelaksanaan yang berkaitan ekosistem halal dikoordinasikan melalui MPIH yang dipengerusikan beliau, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Sept lalu," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan