AM > BERITA

Elak Dedah Strategi, Kekalkan Dominasi Halal Malaysia - TPM Ahmad Zahid

20/09/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pemain industri halal di negara ini disarankan agar tidak terlalu terbuka dalam berkongsi ilmu, strategi, serta taktik pemasaran dengan negara lain, bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai peneraju dalam pensijilan dan pengeluaran produk halal terkemuka di dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara, menegaskan bahawa perkongsian maklumat secara berlebihan berpotensi membolehkan negara lain meniru pendekatan Malaysia, sekali gus menjejaskan kedudukan negara sebagai peneraju produk halal yang telah dibina sejak 1974. 

“Sebagai contoh, Malaysia dahulu adalah negara pengeluar dan pengeksport komoditi getah dan sawit nombor satu di dunia termasuk peneraju perbankan Islam. Namun, kita terpaksa akur apabila jatuh di kedudukan belakang berbanding negara-negara jiran kerana terlalu banyak berkongsi ilmu dan strategi,” katanya ketika merasmikan Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.

Ahmad Zahid berkata sikap terlalu ‘baik hati’ dalam berkongsi ilmu, teknologi dan pengetahuan perlu dikawal demi kepentingan negara.

"Kita terlalu baik hati dalam berkongsi... dan itu memang bagus. Namun, mengapa kita perlu berkongsi dengan semua orang? Ada kawan yang boleh kita berbincang, tetapi ada juga yang berada di luar pagar kita. Ada yang boleh dibawa masuk ke halaman rumah... tetapi kini, kita seolah-olah membawa semua kawan kita berbincang hingga ke bilik tidur. Ini bermakna kita berkongsi terlalu banyak hal berkaitan strategi, taktik, dan gerakan pemasaran. Akhirnya, kita akan tertinggal di belakang,” katanya

Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 merupakan program anjuran bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Halal Development Corporation (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Sekretariat Kongres Ekonomi Bumiputera yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu turut dihadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 merupakan program anjuran bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Sekretariat Kongres Ekonomi Bumiputera. Program ini dihadiri oleh kira-kira 100 peserta, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata koordinasi antara pelbagai agensi, jabatan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu dipergiat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju, bukan sahaja dalam pensijilan halal, tetapi dalam pengeluaran produk halal, termasuklah perkhidmatan perbankan Islam dan lain-lain.

"Niat dan tujuan kita adalah baik, tetapi bagaimana 'sinkronisasi' dapat dilakukan supaya pemegang taruh tidak berada dalam keadaan keliru? Kita mesti mengelakkan situasi di mana semua pihak mempunyai tujuan yang sama, tetapi bertindak dengan cara yang berbeza," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan Malaysia mengekalkan kedudukan dalam industri halal memandangkan pensijilan negara diiktiraf secara meluas oleh negara-negara Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.

Malah, katanya pemain industri halal harus memanfaatkan peluang berdasar pasaran memberangsangkan bagi ekonomi halal global yang dijangka mencecah US$5 trilion menjelang 2030 daripada US$3 trilion tahun ini.

"Pasarannya besar, tetapi berapa banyak sumbangan kita daripada jumlah itu? Eksport produk halal kita hanya berjumlah RM53.7 bilion. Walaupun dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita menyumbang 8.1 peratus untuk eksport produk halal, realitinya ia masih sangat kecil," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata walaupun Malaysia telah berkecimpung dalam industri halal selama hampir 50 tahun, namun negara masih belum mempunyai dasar halal yang kukuh.

Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan inovasi halal, walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memulakan usaha dalam bidang tersebut.

"Sebagai sebuah institusi, pemimpin datang dan pergi, kerana pengarah-pengarah bahagian pensijilan halal akan bersara setelah cukup tempoh, walaupun terdapat kesinambungan. Namun, kita tidak memanfaatkan kepakaran mereka selepas mereka bersara," katanya.

Ahmad Zahid mencadangkan agar pusat penyelidikan yang bakal ditubuhkan dapat menjemput kembali pakar-pakar yang sudah bersara, di samping pakar-pakar baharu, untuk melakukan beberapa inovasi terhadap produk dan perkhidmatan halal.

Beliau juga memaklumkan bahawa mulai tahun hadapan, September akan dijadikan sebagai Bulan Produk Halal tahunan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan