SUKAN > BERITA

PARA SUKMA 2024: JADIKAN KEJAYAAN BONNIE SEBAGAI PEMBAKAR SEMANGAT

20/09/2024 07:36 PM

KUCHING, 20 Sept (Bernama) -- Kejayaan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin di Sukan Paralimpik Paris 2024 perlu dijadikan pembakar semangat bagi atlet yang bertanding pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak dari 22 hingga 28 Sept ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kejayaan Bonnie memenangi pingat emas baru-baru ini membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu menempa nama di persada antarabangsa.

“Bonnie telah membuktikan bahawa di sebalik ketidakupayaan beliau, ada kelebihan dan kehebatan yang mampu ditunjukkan.

“Oleh itu, jadikan kejayaan Bonnie ini sebagai inspirasi kepada semua. Jika Bonnie boleh, anda juga boleh melakukannya,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian perkampungan sukan Para SUKMA 2024 di sini hari ini.

Sebanyak 19 perkampungan sukan dan tempat penginapan telah disediakan untuk temasya kali ini.

Sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah dan catur membabitkan 328 acara.

Seramai 1,290 atlet yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet wanita pula terlibat dalam temasya kali ini, dengan Sarawak akan diwakili 143 atlet lelaki dan 70 atlet wanita. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan