AM > BERITA

JPJ, TNG Bekerjasama Memudah Cara Permohonan RFID VEP

20/09/2024 09:29 PM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan pihak Touch ‘n Go (TNG) untuk mengemas kini maklumat nombor kad pengenalan pemilik kenderaan Singapura bagi memudahkan permohonan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata ia boleh dilakukan menerusi aplikasi TNG eWallet pada menu ‘VEP JPJ’.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pemilik kenderaan yang merupakan pengguna aplikasi TNG eWallet Singapura perlu mengemas kini aplikasi TNG eWallet kepada versi yang terkini iaitu iOS versi 1.8.37, Android versi 1.8.35.1 dan Huawei versi 1.8.35.1.

“Pihak TNG turut menyediakan pemudah cara yang akan membantu pemilik kenderaan Singapura mengemas kini maklumat yang berkaitan TNG eWallet.

“Pemudah cara ini akan ditempatkan di lokasi yang ditetapkan di dua lokasi tambahan bagi pendaftaran tag itu di Johor iaitu JPJ di Taman Daya dan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan di Larkin bermula 23 Sept ini,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ berharap langkah itu akan memudahkan proses pendaftaran VEP bagi pemilik kenderaan Singapura seterusnya memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap, demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan pengguna jalan raya di Malaysia.

MOT menerusi JPJ bakal melaksanakan penguatkuasaaan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Okt ini.

Pertanyaan lanjut berhubung pendaftaran akaun TNG eWallet boleh dilakukan melalui ‘Chatbox’ di laman sesawang https://www.touchngo.com.my.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan