AM > BERITA

22 'Hot Spot' Di Perlis Hadapi Masalah Sistem Perparitan, Saliran

21/09/2024 12:32 PM

PADANG BESAR, 21 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis mengenal pasti  22 kawasan hot spot di Perlis menghadapi masalah sistem perparitan dan saliran sekali gus menjadi antara penyumbang kepada kejadian banjir di kawasan itu.

Pengarahnya Amir Budiman Abdullah berkata antara hot spot itu ialah kawasan yang sedang dilanda banjir pada masa ini seperti Kampung Bakau di Kangar manakala Kampung Titi Besi, Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah bagi kawasan Arau.

“Kawasan hot spot sistem saliran tidak bagus ini ialah kawasan tanah yang agak rendah dan jika hujan bersekali dengan masalah saliran ini akan menyebabkan banjir dan ada kawasan kita masuk membantu dengan pam bergerak untuk mengurangkan risiko banjir,” katanya kepada pemberita semasa meninjau Empangan Timah Tasoh dekat sini.

Amir Budiman berkata pihaknya mendapati terdapat kejadian banjir berulang setiap tahun dari kawasan hot spot itu terutamanya bagi kawasan tanah rendah yang pada pandangan JPS memerlukan penyelesaian jangka panjang seperti membuat sistem tebatan banjir lebih berkesan.

Sementara itu, beliau berkata langkah penyelesaian isu perparitan dan saliran bagi kawasan hot spot itu tidak tertumpu kepada pihaknya sahaja kerana turut melibatkan agensi berkaitan lain serta pihak persendirian.

“Ada melibatkan tanah persendirian yang kita tidak boleh secara terus untuk memberikan perkhidmatan, kita kena tengok, kalau antara agensi kita akan berbincang dengan agensi itu untuk selesaikan tetapi tanah individu sukar sikit kerana menyebabkan tanah bermilik.

“Mana-mana sistem saliran tersangkut itu, kita memaklumkan kepada agensi yang berkaitan ataupun pihak tertentu untuk membantu manakala jika keadaan air tersangkut di sistem saliran nak masuk ke sungai utama, itu kita punya tugas kita ambil tindakan,” katanya.

Amir Budiman berkata kerja pembersihan dan penyelenggaraan perparitan empat kali setahun oleh JPS pula melibatkan lokasi dalam kawasan pengairan JPS sahaja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan