AM > BERITA

Melaka Sasar Peratus Pemilikan Rumah Meningkat Sehingga 88 Peratus Menjelang 2030

21/09/2024 03:49 PM

MELAKA, 21 Sept (Bernama) -- Melaka menyasarkan peratus pemilikan rumah di negeri itu meningkat sehingga 88 peratus menjelang 2030, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran tersebut, sekurang-kurangnya 4,191 unit rumah perlu dibina dalam tempoh setahun.

"Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor pembangunan perumahan di Melaka bagi 2023 menunjukkan prestasi dan pencapaian positif, dengan peratus pemilikan rumah di Melaka mencapai 84.5 peratus, berbanding 76.5 peratus di peringkat nasional," katanya.

"Laporan daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan bahawa sehingga suku kedua 2024, Melaka masih mengekalkan status sebagai negeri dengan harga rumah terendah di Malaysia, iaitu pada harga purata RM233,255, berbanding harga purata di peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penjualan Projek Kondominium Kota Syahbandar di sini hari ini.

Ab Rauf berkata sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap pembangunan perumahan memberi manfaat, pihaknya memandang serius isu perumahan yang telah siap dibina tetapi tidak terjual.

'Alhamdulillah, Melaka hanya mencatat sebanyak 514 unit rumah dengan nilai RM210.14 juta yang tidak terjual, berbanding negeri-negeri lain yang mencatatkan lebih daripada 2,900 unit hartanah tidak terjual di setiap negeri.

“Berkait itu, kerajaan Melaka akan sentiasa memantau agar kadar harga rumah di negeri ini kekal relevan dan mampu milik walaupun semua pihak sedia maklum dengan kenaikan kos bahan mentah terutamanya dalam sektor pembinaan sekali gus memastikan rumah tidak terjual di negeri dapat diminimumkan,” katanya

Beliau berkata kerajaan negeri sangat menggalakkan pemaju hartanah untuk menawarkan lebih banyak projek berkualiti bagi memenuhi permintaan unit kediaman di Bandaraya Melaka, yang dijangka meningkat selaras dengan jumlah pengunjung yang kini mencecah 10.15 juta pelancong ke Melaka sehingga Ogos 2024.

“Saya percaya, pembangunan ini merupakan sebuah mercu tanda harapan untuk sumber ekonomi negeri kerana dari sudut perkembangan ekonomi kita, projek kondominium ini berpotensi untuk menjadi pelaburan masa hadapan yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar Keluaran Dalam Kasar Negeri (KDNK) negeri.

“Besar harapan saya agar kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta dapat diteruskan pada masa hadapan demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Melaka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan