AM > BERITA

Program Merdeka Suka Cipta 2024 Semarakkan Jiwa Merdeka

21/09/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Balai Seni Negara menganjurkan program Merdeka Suka Cipta 2024 bagi menyemarakkan semangat jiwa merdeka rakyat menerusi pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan, bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman berkata kementerian itu sentiasa komited dalam memacu program pelancongan, seni dan budaya menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Program Merdeka Suka Cipta ini menjadi nadi penting dalam memupuk kecintaan masyarakat terhadap seni visual tanah air, sejajar dengan hasrat Malaysia MADANI yang berteraskan enam nilai, antaranya Daya Cipta iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia,” katanya ketika merasmikan program dua hari itu, di sini hari ini.

Turut hadir Senator Isaiah Jacob dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Mono Motion Digital Solutions, LC Merchandising, Power Root Berhad, Gardenia Bakeries (KL), Nestle Malaysia, Kadokawa Gempak Starz, Mohle Skateboards, Sibling Skateboard serta Swyv Footwear.

Beliau berkata program Merdeka Suka Cipta kali ini menyaksikan penganjuran pelbagai pertandingan dan aktiviti antaranya Pertandingan Seni Lukis dan Reka Cipta Arca, Reka Cipta Kostum Kreatif dan Lukisan Figuratif.

“Menariknya, buat julung kalinya pertandingan Reka Cipta Kostum Kreatif tahun ini menampilkan kelainan di mana peserta perlu menggayakan kostum yang diinspirasikan daripada karya koleksi seni visual negara,” katanya.

Beliau turut berharap program itu dapat memperkasakan penghayatan seni visual dalam kalangan rakyat Malaysia, selain meningkatkan daya kreativiti yang seterusnya mampu menarik lebih ramai pelancong domestik ke Balai Seni Negara.

Menurut Roslan, Balai Seni Negara juga sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program seni sama ada inreach mahupun outreach bersama komuniti termasuk pertandingan seni.

Program Merdeka Suka Cipta kali ini turut menampilkan aktiviti menarik seperti papan luncur,  fingerboard, senaman pound rockout, zumba, zoo haiwan jinak, wall climbing, bengkel seni dan persembahan pentas.

Selain itu, program turut dimeriahkan dengan aktiviti Merdeka Suka Cipta Fun Walk sejauh tiga kilometer yang bermula 6 petang meliputi kawasan sekitar Balai Seni Negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan