AM > BERITA

Rampasan Op Global Jadi Bukti Sokongan Tentukan Status Pegangan Akidah Pengikut GISBH - JAKIM

22/09/2024 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Hasil rampasan Op Global fasa keempat oleh polis dan  beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dijadikan bukti sokongan untuk menentukan status pegangan akidah pengikut kumpulan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Pengarah JAKIM Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata bahan-bahan bukti berkenaan akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) pada 24 hingga 26 Sept ini.

"Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin Kumpulan GISBH itu akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan itu dibawa ke Mahkamah Syariah," katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook JAKIM, semalam.

Hakimah berkata JAKIM amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya pihak polis dalam membantu pihaknya melengkapkan bahan bukti untuk siasatan kes berkaitan GISBH.

"Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri yang memberi kerjasama erat kepada JAKIM selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

"JAKIM di bawah arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau berkata sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semalam memaklumkan beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat dirampas dalam serbuan di premis berkaitan GISBH di seluruh Semenanjung Malaysia.

Antara hasil rampasan di Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang itu termasuk enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan