AM > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Menurun Kepada 8,394 Petang Ini

22/09/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurang kepada 8,394 orang setakat 4 petang ini berbanding 8,898 pada pagi tadi. 

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir yang melibatkan 2,713 keluarga itu ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,218 orang daripada 1,759 keluarga diikuti Pendang (1,581 orang daripada 474 keluarga), Kubang Pasu (933 orang daripada 288 keluarga), Pokok Sena (515 orang daripada 158 keluarga) dan Bandar Baharu (147 orang daripada 34 keluarga).

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa kini hanya dua sungai di Kedah masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan seramai 29 orang masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian yang dibuka sejak Jumaat selepas Kampung Matang Tengah dinaiki air.

JPS memaklumkan Kolam Air Bukit Merah di Kerian kini berada pada tahap berjaga-jaga dengan paras air setinggi 9.04 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa daerah termasuk Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang akan mengalami hujan malam ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan