KONTROVERSI GISBH: SEMAKIN RAMAI INDIVIDU TAMPIL DEDAH PENGALAMAN DI MEDIA SOSIAL

22/09/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kemelut isu mengeksploitasi kanak-kanak dan agama yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kian hangat selepas semakin ramai individu tampil mendedahkan pengalaman sebagai bekas serta ahli kumpulan itu di media sosial. 

Jumaat lepas, seorang pengguna platform X iaitu babblingnia mendedahkan bahawa dia dilahir dan dibesarkan dalam Kumpulan Al-Arqam yang dikaitkan dengan GISBH, yang didakwa wujud ajaran sesat dan menanam ketaasuban dalam kalangan pengikutnya.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan ia kini memantau sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh individu atau pihak berkaitan yang mempunyai kaitan dengan GISBH di media sosial.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman diberikan peranan untuk memantau perkara itu.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan seramai 29 individu berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang dikaitkan dengan GISBH ditahan reman antara satu hingga tujuh hari bagi membantu siasatan. 

Mereka disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala kesemua individu ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Subang Jaya serta Petaling Jaya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datin Hakimah Mohd Yusoff pula berkata hasil rampasan Op Global fasa keempat oleh PDRM dan beberapa agensi lain termasuk JAKIM boleh dijadikan bukti sokongan untuk menentukan status pegangan akidah pengikut GISBH.

Beliau berkata bahan-bahan bukti itu akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) yang berlangsung dari 24 hingga 26 Sept ini.

Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata beliau menyerahkan isu berkaitan GISBH kepada pihak berkuasa untuk ditangani sewajarnya kerana syarikat itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negeri.

Di NEGERI SEMBILAN, Mahkamah Rendah Syariah membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap pengerusi dan pengetua sebuah madrasah di Kuala Pilah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Hakim Syarie Nurul Akmar Mohamad Hilmi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pegawai penguat kuasa agama bahagian penguatkuasaan JHEAINS terhadap kedua-dua orang yang disyaki (OYDS), masing-masing berusia 58 dan 51 tahun, bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam (Negeri Sembilan) 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2019).

Beliau menetapkan bon jaminan RM2,000 dengan dua penjamin yang bermastautin di Negeri Sembilan bagi kedua-dua OYDS dan sebutan semula kes pada 12 Nov ini.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Jawatankuasa Muzakarah MKI akan memutuskan sama ada menggantung atau membatalkan lesen perniagaan milik GISBH di negeri itu.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang dijangka berlangsung di Terengganu dalam masa terdekat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Terengganu Aizi Saidi Abdul Aziz pula berkata 13 ekor kuda di pusat latihan haiwan berkenaan yang dikaitkan dengan GISBH di Kampung Mengabang Panjang, Kuala Nerus yang diserbu PDRM semalam didapati dicap dengan logo kumpulan itu.

Beliau berkata ada antara cap logo itu dilihat di bahagian atas kaki hadapan kuda dan perkara tersebut dimaklumkan kepadanya oleh pihak polis.

Di PERLIS, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) merampas 63 barang berkaitan ajaran sesat berunsur batiniah dalam operasi bersepadu di dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH semalam.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim berkata operasi itu melibatkan bahagian penguatkuasaan jabatan berkenaan dengan kerjasama PDRM dan agensi berkaitan.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap individu serta premis yang dikaitkan dengan GISBH.

Beliau berkata sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan, tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap mereka.

Di SELANGOR, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jabatan Mufti Negeri Selangor akan bersidang pada 30 Sept bagi memutuskan persoalan tentang GISBH selepas laporan berkaitan kumpulan itu dibentangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dalam mesyuarat MAIS pada 24 Sept ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan