POLIS SELANGOR, MAIS DAN JAIS KONGSI MAKLUMAT BERHUBUNG GISBH SEJAK AWAL

22/09/2024 07:37 PM

KLANG, 22 Sept (Bernama) -- Polis Selangor, bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sentiasa bekerjasama dalam berkongsi maklumat sejak awal siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana siasatan dikendalikan oleh pasukan khas di peringkat Bukit Aman.

“Sejak awal, Polis Selangor memang telah bekerjasama dengan MAIS dan JAIS dalam perkongsian maklumat berkaitan isu GISBH. Namun, kami tidak boleh memberi komen lanjut kerana siasatan ini dikendalikan oleh pasukan khas bersepadu di Bukit Aman,” katanya.

“Sejak awal lagi, memang polis Selangor ada bekerjasama dengan MAIS dan JAIS dalam berkongsi maklumat berkaitan ini (isu GISBH). Tetapi kita tidak boleh komen lanjut berkaitan ini sebab ini (GISBH disiasat) satu pasukan khas bersepadu di peringkat  Bukit Aman,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas menghadiri Selangor Police Integrity Half Marathon 2024 yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan isu GISBH yang dikaitkan dengan jenayah dan kini sedang disiasat pihak polis.  

Sehubungan itu, baginda mahu agar semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.  

Dalam perkembangan lain, Hussein memaklumkan siasatan berhubung kematian pempengaruh Muhammad Nidza Afham Mokhtar telah hampir selesai dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam waktu terdekat. 

Katanya untuk masa ini, kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mayat Muhammad Nidza Afham, 23 yang ditemukan di Sungai Klang petang 14 Ogos lepas, selepas dilaporkan hilang sehari sebelum kejadian oleh ahli keluarganya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan