AM > BERITA

Lebih 85,000 Anak Pokok Terjual Di MAHA 2024

22/09/2024 07:02 PM

SERDANG, 22 Sept (Bernama) -- Lebih 85,000 anak pokok dijual sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang boleh memanfaatkan tanah seluas 839 hektar.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata angka itu menunjukkan peningkatan 17 peratus berbanding nilai jualan anak pokok pada MAHA 2022.

“Ia meliputi jualan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup MAHA 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata anak pokok yang dijual meliputi durian Musang King dan Duri Hitam (Black Thorn), rambutan mutiara dan cempedak yang dijual antara RM15 hingga RM300 mengikut ketinggian pokok.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan  kepercayaan orang ramai terhadap agensi pertanian dalam negara dan menggalakkan orang ramai menanam pokok untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid berkata lembu baka Brahman mencatatkan nilai tempahan sebanyak RM2.15 juta yang melibatkan 310 ekor. 

“Kita (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) memang cuba ketengahkan baka dari Australia ini untuk diternak di negara ini kerana lembu baka Brahman ini merupakan baka lembu pedaging yang berkualiti,” katanya.

Terdahulu, semasa sidang media Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kepercayaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menganjurkan MAHA edisi ke-100.

“Saya juga ingin ucap terima kasih kepada warga KPKM serta petugas media yang bertungkus lumus sepanjang 12 hari penganjuran MAHA 2024,” katanya.

MAHA 2024 yang melabuhkan tirainya mencatatkan kehadiran lima juta pengunjung setakat 12 tengah hari tadi sekali gus melebihi sasaran seperti ditetapkan iaitu tiga juta orang.

Pameran dwitahunan itu yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini telah menjana nilai jualan langsung lebih RM41 juta setakat pagi tadi.

MAHA 2024 turut menyaksikan 139 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion berjaya ditandatangani.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan