AM > BERITA

Kes Demam Denggi Menurun Pada Me 37, Tiada Kematian Dilaporkan

23/09/2024 10:38 AM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,794 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 37 iaitu bagi tempoh 8 hingga 14 Sept berbanding 1,870 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan. 

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 37 sebanyak 100,236 kes berbanding 84,865 bagi tempoh sama 2023.

“Sementara itu, terdapat 89 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 59 kematian bagi tempoh sama pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan sebanyak 43 lokaliti berbanding 53 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 43 lokaliti yang dilaporkan, 32 lokaliti di Selangor, tiga masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Perak, dua masing-masing di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala satu di Kelantan.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata tiada kes dan wabak direkodkan serta jumlah kumulatif kes sehingga kini ialah 72.

Survelan zika pula sebanyak 1,934 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan dan semua keputusan negatif.

Beliau berkata bagi memastikan pengesanan awal dapat dibuat, semua kes disyaki denggi akan dijalankan ujian pengesahan demam denggi menggunakan kit ujian pantas combo yang keputusan boleh diperoleh dalam masa 20 hingga 30 minit.

Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelakkan kematian akibat komplikasi demam denggi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan