AM > BERITA

SRA JAIM Bakal Dijenamakan Dengan Nama Tokoh Agama, Ilmuan Islam

23/09/2024 07:55 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Kesemua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bakal dijenamakan semula secara berperingkat dengan menggunakan nama tokoh agama dan ilmuan Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata usaha berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula bulan ini dalam memberi imej baharu kepada institusi pendidikan Islam di negeri itu.

"Sebelum ini, SRA JAIM lebih dikenali dengan nama di sesebuah kawasan sekolah itu dibangunkan, jadi penjenamaan nama itu dilihat bersesuaian dengan imej sekolah agama itu sendiri.

"Usaha ini secara tidak langsung dapat memberi pengetahuan dan pendedahan mengenai tokoh agama dan ilmuan Islam sejak zaman Rasulullah SAW kepada pelajar dan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian SRA JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Dalam pada itu, Rahmad berkata kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.41 juta bagi projek selenggara dan naik taraf 149 SRA JAIM di Melaka.

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun lepas, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan berjaya membina lima SRA JAIM baharu, iaitu SRA JAIM Seri Duyong; SRA JAIM Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas; SRA JAIM Air Merbau, Jasin; SRA JAIM Durian Daun, Masjid Tanah dan SRA JAIM Melaka Pindah.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi projek pembinaan beberapa lagi bangunan baharu SRA JAIM yang sudah dimasukkan dalam senarai projek Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan