AM > BERITA

RM155,000 Bantuan Pendidikan Kepada 16 Sekolah, 500 Pelajar Di Parlimen Sungai Buloh

22/09/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM155,000 bantuan pendidikan diperuntukkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi membantu 16 sekolah dan 500 pelajar di Parlimen Sungai Buloh.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata lima sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sekitar Sungai Buloh menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM50,000, 11 sekolah kebangsaan (SK) mendapat bantuan sekolah RM55,000 dan bantuan persekolahan kepada 500 pelajar sekolah yang berjumlah RM50,000.

“Fasa pertama bantuan diagihkan di kawasan Kota Damansara manakala untuk fasa kedua akan melibatkan kawasan Paya Jaras pada minggu hadapan.

“Terima kasih Yayasan Bank Rakyat yang dapat merealisasikan program ini dengan berjaya bersama Pusat Khidmat Rakyat YB Dato’ Ramanan Ahli Parlimen Sungai Buloh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Majlis penyampaian bantuan pendidikan itu disempurnakan Ramanan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Kota Damansara semalam. 

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata bantuan itu bertujuan membantu pihak sekolah bagi memantapkan lagi tahap pencapaian pelajar melalui pelaksanaan program pendidikan serta bantuan tunai kepada pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga B40 dalam meningkatkan tahap akademik murid-murid untuk sesi persekolahan 2024.

Beliau berkata selaras dengan slogan "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Pendidikan" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memperkasakan pendidikan untuk melahirkan generasi Malaysia yang berpendidikan tinggi dan menoktahkan kemiskinan di dalam negara ini.

“Pendidikan merupakan elemen penting untuk masa depan negara. Di Parlimen Sungai Buloh, misi dan fokus utama saya adalah untuk membantu dan menggemilangkannya.

“Terima kasih kepada Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani serta pasukannya yang sentiasa membantu pelbagai program di Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan