AM > BERITA

Ahli Parlimen Perlu Sesuaikan Diri Dengan Cabaran Baharu, Penuhi Harapan Rakyat

24/09/2024 12:38 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Ahli Parlimen mesti menyesuaikan diri dengan cabaran baharu melalui kaedah bertemu orang ramai, memastikan kebolehcapaian, mengekalkan ketelusan dan meningkatkan pengawasan perundangan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

"Mereka juga perlu menggubal undang-undang yang menangani perubahan keperluan masyarakat sambil menjamin akauntabiliti kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam yang dianjurkan untuk peserta program Advanced Parliamentary Development Residency Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di bangunan Parlimen di sini malam ini.

Johari berkata hal ini kerana, pada zaman sekarang orang ramai mengharapkan sifat bertanggungjawab daripada pembuat keputusan termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin politik, serta telus dalam proses membuat keputusan.

"Orang ramai mahu jaminan bahawa keputusan berkenaan akan melindungi hak mereka dan mengharapkan tadbir urus yang berkesan daripada pemimpin," katanya.

Justeru, beliau berkata sebagai penggubal undang-undang, Ahli Parlimen perlu berusaha meningkatkan kemahiran dan kepakaran bagi mencadangkan dan melaksanakan dasar yang memenuhi keperluan rakyat.

"Menurut laporan Kesatuan Antara Parlimen Parliament and Democracy in the 21st Century, Ahli Parlimen dalam dunia hari ini perlu, antaranya, mewakili kehendak rakyat dan melaksanakan harapan mereka untuk tadbir urus yang responsif dan bertanggungjawab," katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Setiausaha Kehormat CPA Malaysia turut hadir pada majlis itu.

Dalam pada itu, Johari berkata program berkenaan tepat pada masanya kerana ia membolehkan Ahli Parlimen dan petugasnya berkongsi pengetahuan dan pengalaman khususnya dalam konteks aktiviti parlimen, cabaran tadbir urus dan amalan perundangan terbaik dari seluruh Komanwel.

"Program ini menawarkan peserta peluang untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang ciri-ciri teras yang mentakrifkan seorang Ahli Parlimen pada abad ke-21," katanya.

Sementara itu, Noraini berkata Ahli Parlimen perlu menilai kerumitan dan kepakaran yang diperlukan untuk menguruskan teknologi baharu secara bertanggungjawab dan beretika.

"Keutamaan kami ialah membangunkan peraturan dan rangka kerja tadbir urus yang berkesan. Hal ini termasuk mewujudkan garis panduan jelas untuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), melaksanakan audit, memastikan ketelusan dan latihan komprehensif.

"Selain itu, berkongsi pengalaman dan mempelajari amalan terbaik antara satu sama lain dapat meningkatkan kecekapan kita dalam menangani isu-isu ini.

"Libat urus berterusan, seperti program Advanced Parliamentary Development Residency ini penting dalam memastikan semua Ahli Parlimen sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini dalam konteks perundangan," katanya.

Sebanyak 30 Ahli Parlimen dari negara Komanwel termasuk Malaysia, menyertai program berkenaan yang diadakan bermula hari ini hingga 28 Sept. Aktiviti peserta termasuk lawatan ke Dewan Undangan Negeri Selangor pada 27 Sept, selepas mengadakan kunjungan ke Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan