BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 DUNIA > BERITA

BEBERAPA NEGARA SAHKAN JEMAAH HAJI MENINGGAL DUNIA GUNA VISA PELANCONG, LAWATAN

20/06/2024 12:36 PM

MAKKAH, 20 Jun (Bernama) -- Beberapa negara telah mengesahkan bahawa kebanyakan jemaah haji mereka yang meninggal dunia semasa musim haji tahun ini adalah individu yang memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau lawatan beberapa bulan sebelum ibadah haji bermula.

Menurut laporan The Jordan Times yang memetik Kementerian Luar Negeri dan Hal Ehwal Ekspatriat Jordan, tiada seorang pun daripada 41 warga Jordan yang meninggal dunia semasa musim haji tahun ini dan diberikan permit pengebumian untuk dikebumikan di Makkah adalah sebahagian daripada delegasi rasmi Haji Jordan.

Laporan oleh Samaa TV yang memetik Kementerian Luar Negeri, Migrasi dan Warganegara Tunisia di Luar Negara juga mengesahkan bahawa kebanyakan jemaah haji Tunisia yang meninggal dunia telah tiba di negara itu dengan visa pelancongan, lawatan atau umrah.

Musim haji tahun ini menyaksikan peningkatan suhu yang ketara di Makkah dan sejumlah besar jemaah tiba dengan visa pelancongan atau lawatan dari pelbagai negara.

Jemaah ini melakukan perjalanan jauh di Kota Suci di bawah terik matahari, tanpa sebarang syarikat atau entiti yang menyediakan perkhidmatan penginapan, makanan atau pengangkutan.

Akibatnya, mereka terdedah kepada risiko keletihan haba, pendedahan matahari dan banyak berjalan kaki di laluan yang sukar dan tidak berturap, yang tidak dikhaskan untuk pejalan kaki. Keadaan ini menyebabkan kematian ramai jemaah.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan