DUNIA > BERITA

PM CHINA LI QIANG SOKONG ALIRAN RANTAIAN BEKALAN TANPA HALANGAN, BANTAH PENYAHGANDINGAN

25/06/2024 07:23 PM

ANKARA, 25 Jun (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri China Li Qiang pada Selasa menggesa masyarakat global untuk menghadapi cabaran pertumbuhan ekonomi dunia dan berfikiran lebih terbuka mengenai isu-isu pembangunan. 

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan meningkatkan kos operasi ekonomi global, lapor Agensi Anadolu.

Bercakap pada sesi pleno pembukaan Mesyuarat Tahunan Juara Baharu ke-15, yang juga dikenali sebagai Summer Davos di Dalian timur laut China, Li berkata dunia perlu berhenti memberi tumpuan semata-mata untuk memaksimumkan kepentingan seseorang tanpa mengambil kira kepentingan orang lain.

"...Ia hanya akan meningkatkan kos operasi ekonomi global, memutuskan hubungan ekonomi antara wilayah dan memburukkan percanggahan serta pertikaian," kata Li seperti yang dipetik oleh Xinhua News.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Presiden Andrzej Duda dari Poland dan Perdana Menteri Pham Minh Chinh dari Vietnam, serta lebih 1,600 wakil komuniti politik, perniagaan, akademik dan media dari hampir 80 negara dan wilayah.

Menurut kenyataan Kementerian Luar China, semasa mesyuarat itu, Li bertemu dengan pengerusi eksekutif Forum Ekonomi Dunia Klaus Schwab dan tetamu asing, serta wakil dari komuniti perniagaan asing.

Perdana Menteri China itu berkata ekonomi global kekurangan momentum pertumbuhan yang mencukupi disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk kejutan pandemik COVID-19, inflasi tinggi dan situasi hutang yang semakin teruk.

"Pilihan yang betul adalah mendekati pembangunan dengan pandangan dan pemikiran yang lebih luas," tambahnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan