DUNIA > BERITA

PERANG: EU LANJUTKAN PERATURAN PERLINDUNGAN UNTUK UKRAINE SEHINGGA 2026

25/06/2024 07:15 PM

BRUSSELS, 25 Jun (Bernama-dpa) -- Kesatuan Eropah (EU) telah melanjutkan peraturan kecemasan untuk melindungi orang yang melarikan diri daripada perang di Ukraine sehingga sekurang-kurangnya 4 Mac 2026, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). 

"Setiap hari, Rusia menakut-nakutkan rakyat Ukraine dengan pengebomannya," kata Setiausaha Negara Belgium bagi Suaka dan Migrasi, Nicole de Moor yang mempengerusikan rundingan untuk memanjangkan peraturan, berkata dalam satu kenyataan.

"Mereka yang melarikan diri daripada pencerobohan Rusia boleh terus mengharapkan solidariti kami," katanya.

Rakyat Ukraine yang melarikan diri ke EU selepas pencerobohan besar-besaran negara mereka oleh Rusia pada 2022, telah diberikan perlindungan segera di bawah rejim sementara yang ditubuhkan oleh negara anggota EU untuk menguruskan kemasukan besar-besaran rakyat negara itu. Rejim sedia ada dijangka berakhir pada Mac 2025.

Cadangan itu bertujuan untuk mengelakkan prosedur pencarian suaka kebangsaan yang panjang yang diperlukan untuk memproses sejumlah besar orang yang berpindah. Lanjutan peraturan sementara itu boleh dilakukan sehingga satu tahun.

Selain itu, orang di bawah perlindungan sementara berhak mendapat faedah sosial, perumahan, akses kepada pendidikan dan permit kerja, antara lain.

Suruhanjaya Eropah melaporkan bahawa hampir 4.2 juta rakyat Ukraine kini menetap di EU di bawah peraturan itu dengan Jerman menjadi tuan rumah kepada paling ramai iaitu 1.2 juta orang.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan