DUNIA > BERITA

PRABOWO OPTIMIS TERHADAP PENGUKUHAN KERJASAMA DENGAN MALAYSIA

08/09/2024 02:48 PM

JAKARTA, 8 Sept (Bernama) -- Presiden terpilih Indonesia Prabowo Subianto telah menyatakan keyakinan terhadap masa depan kerjasama pertahanan antara Indonesia dan Malaysia berdasarkan momentum yang diwujudkan berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 9 Ogos 2022.

Prabowo yang juga Menteri Pertahanan Indonesia dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan selepas lawatannya ke Malaysia berkata perjanjian itu akan memperkukuh kerjasama dalam industri pertahanan, pendidikan, operasi dan latihan.

Beliau menekankan bahawa kedua-dua negara telah lama mendapat manfaat daripada program latihan bersama, dengan lebih 500 pegawai di kementerian dan angkatan tentera Indonesia dilatih di Malaysia sejak 1967 dan lebih 200 anggota dari Malaysia mendapat latihan di Indonesia sejak 1970.

Mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pada Jumaat, Prabowo menurut kenyataan itu menzahirkan rasa terima kasihnya atas perbincangan membina yang berlaku semasa pertemuan itu.

“Saya mengesahkan komitmen Kementerian Pertahanan Indonesia untuk memupuk hubungan pertahanan dua hala yang harmoni dan saling menguntungkan,” tambahnya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan komitmen mereka untuk memastikan kejayaan berterusan kerjasama dua hala, bertujuan untuk menyelaraskannya dengan pengukuhan hubungan Indonesia-Malaysia yang lebih meluas merentasi pelbagai sektor.

Lawatan Prabowo ke Malaysia merupakan kali kedua sejak beliau secara rasmi diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden 2024 pada Mac. Beliau akan menggantikan Presiden Joko Widodo pada 20 Oktober.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan