DUNIA > BERITA

RUSIA, MALAYSIA JALIN KERJASAMA DALAM PELANCONGAN MESRA MUSLIM

17/09/2024 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Rusia dan Malaysia bersedia untuk meningkatkan pelancongan mesra Muslim menerusi kerjasama baharu antara badan pensijilan halal Rusia, Roskachestvo dan Pusat Pelancongan Islam Malaysia.

Menurut hantaran di Facebook oleh Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia, memorandum kerjasama ditandatangani semasa Persidangan Pelancongan Islam ke-4 baru-baru ini. Perjanjian itu ditandatangani oleh ketua Roskachestvo Maxim Protasov dan ketua pengarah Pusat Pelancongan Islam Nizran Noordin.

"Memorandum itu bertujuan untuk mengukuhkan dan membangunkan ekosistem mesra Muslim dalam sektor pelancongan. Rancangannya adalah untuk menyelaraskan keperluan pensijilan untuk hotel dan perniagaan hospitaliti dengan piawaian mesra Muslim," tambah catatan itu.

Menurut kedutaan, pada musim bunga 2024, "Roskachestvo-Halal" mula memperakui perkhidmatan pelancongan mengikut piawaian mesra Muslim, yang dibangunkan berdasarkan pengalaman antarabangsa lebih 30 negara.  

Moscow, St Petersburg, Tatarstan, Dagestan dan kawasan lain di Rusia popular dalam kalangan pelancong Islam, dan standard baharu akan memudahkan mereka memilih pilihan penginapan dan riadah yang selesa, kata siaran itu lagi. 

Sementara itu, Pusat Pelancongan Islam menerusi Facebooknya berkata memorandum yang ditandatangani itu merupakan hasil utama Kumpulan Kerja Malaysia-Rusia yang diadakan semasa KazanForum pada Mei tahun ini. 

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan