DUNIA > BERITA

CHINA, MALAYSIA SEDIA TINGKATKAN KERJASAMA KESELAMATAN

10/09/2024 01:50 PM

LIANYUNGANG (China), 10 Sept (Bernama-CMG) -- Ahli Dewan Negara China yang juga Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong berkata China bersedia memperkasakan kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang dengan Malaysia agar mempromosikan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia ke tahap baharu. 

Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, pada Isnin.

Wang berkata China bersedia mengambil peluang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia, mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dan komunikasi strategik dengan Malaysia agar memajukan hubungan dua hala ke hadapan.

Ahmad Zahid dan Saifuddin Nasution masing-masing menzahirkan kesediaan untuk meningkatkan kolaborasi dengan China dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

Untuk rekod, Ahmad Zahid dan Saifuddin Nasution berada di China untuk menghadiri Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global 2024 yang dirasmikan pada Isnin.

Wang ketika berucap merasmikan persidangan itu berkata China akan mengambil langkah pragmatik, menyumbangkan kebijaksanaan dan tenaga China kepada tadbir urus global.

Bertemakan "Kerjasama Saling Untung dalam Perubahan: Bina Komuniti Keselamatan Awam Global", persidangan edisi ini turut dihadiri lebih 2,100 pemimpin, wakil jabatan penguatkuasaan, pakar dan sarjana dari 122 negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan