DUNIA > BERITA

RAKYAT MALAYSIA ANJUR SAMBUTAN DI BELGIUM SEMPENA HARI KEBANGSAAN

10/09/2024 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- The Malaysian Association of Belgium and Luxembourg (MABL)  menganjurkan pameran dan sambutan meriah di Wilsele, Belgium pada 7 Sept sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-67.

Presiden MABL, Sarala Shambulingam Vanherck berkata acara itu yang menjadi tumpuan komuniti Malaysia, menarik kunjungan lebih 190 tetamu, termasuk Duta Besar Malaysia ke Belgium Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak, isteri beliau Datin Aniza Mohamad Tamil, serta tetamu dari Belgium, Luxembourg dan Belanda.

Para tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk Pavilion Malaysia, demonstrasi lukisan Batik dan pameran pelancongan oleh Tourism Malaysia yang menampilkan risalah perjalanan daripada Avelede Paris dan Thai Airways, serta beg buatan tangan daripada EmbunEmbun Langkawi.

"Persembahan-persembahan itu sungguh menakjubkan.

"Kami menampilkan penari Melayu dari Luxembourg, penari Cina dari Brussels, seorang penari India berbakat, Ashu Devgune, kumpulan Silat dari Paris, kumpulan tarian Sabah yang diketuai oleh Matthew dan rakan-rakan serta penari tempatan kami, Punitha dan Mugilan," kata Sarala dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sajian makanan menjadi tarikan utama, dengan bufet yang menampilkan makanan jalanan atau "street food"  Malaysia, nasi lemak, dan masakan India. Hidangan tambahan turut disediakan bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada para tetamu.

Sarala turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Malaysia Belanda (MANL) yang diwakili oleh Cris de Raaff, dan Persatuan Malaysia Perancis yang diwakili oleh Yap Choon Chong.

Beliau juga berterima kasih kepada semua sukarelawan dan penyumbang, termasuk Cef Ena dan Yus dari Makan-Makan Malaysia, Cef Isha dari Leuven Chicken Rice, Nancy Teh, dan pasukan eksekutif MABL kerana menjadikan sambutan itu satu acara yang bermakna.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan