DUNIA > BERITA

TENTERA UDARA INDONESIA TEMPAH EMPAT HELIKOPTER AIRBUS H145

18/09/2024 05:14 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 18 Sept (Bernama) -- Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) membuat tempahan empat helikopter Airbus H145 sebagai sebahagian daripada program pemodenan latihannya.

Helikopter ini akan digunakan untuk latihan ketenteraan dan misi mencari dan menyelamat ringan.

Tempahan ini diumumkan minggu ini semasa Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali, sebagai sebahagian daripada perjanjian antara Tentera Udara dan syarikat aeroangkasa PT Dirgantara Indonesia (PTDI), menurut kenyataan Airbus pada Rabu.

Di bawah perjanjian itu, Airbus akan membekalkan H145 kepada PTDI, yang akan menguruskan pemasangan semula dan melengkapkan peralatan misi serta kerja-kerja penyesuaian lain di kemudahannya di Bandung, Indonesia sebelum diserahkan kepada tentera udara.

“Kami yakin bahawa H145 yang serba boleh ini akan memberi impak positif dalam meningkatkan latihan juruterbang, sambil memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat,” kata Ketua Airbus Helicopters Asia-Pasifik, Vincent Dubrule.

Presiden pengarah PTDI, Gita Amperiawan berkata kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh perkongsian yang lama terjalin antara PTDI dan Airbus, tetapi juga mempamerkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan boleh dipercayai bagi keperluan operasi negara.

"Melalui kerjasama erat ini, PTDI bukan sahaja akan menyokong penghantaran helikopter H145 tetapi juga meningkatkan keupayaan dalam integrasi dan pemasangan di kemudahan kami," kata Gita.

Airbus Helicopters dan Indonesia menjalinkan kerjasama hampir 50 tahun, bermula pada 1976 dengan lesen PTDI untuk menghasilkan helikopter NBO-105.

PTDI menjadi pembekal utama untuk  ‘rear fuselage’ dan rangka utama Airbus H225 pada 2008, dengan pengeluaran penuh tersedia di Indonesia menjelang 2011.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan