DUNIA > BERITA

DUTA MALAYSIA SERU HUBUNGAN LEBIH ERAT MALAYSIA-INDONESIA

19/09/2024 02:50 PM

JAKARTA, 19 Sept (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menggesa hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia, dengan tenaga hijau dan ekonomi digital menjadi sektor utama untuk mempereratkan lagi ikatan itu.

Pada majlis resepsi Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia ke-61 pada malam Khamis, yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu termasuk tokoh terkemuka Indonesia, Syed Md Hasrin menekankan kepentingan strategik hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu.

Ketika Presiden Indonesia Joko Widodo bersedia menamatkan penggalnya pada 20 Oktober, dengan Presiden terpilih Prabowo Subianto akan menggantikannya, Syed Md Hasrin menekankan peluang untuk memperdalam hubungan antara Kabinet kedua-dua negara.

"Kami akan meneroka laluan yang sesuai sejajar dengan mekanisme dua hala sedia ada untuk meningkatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia," katanya kepada pemberita pada majlis resepsi itu.

Antara tetamu yang hadir ialah bekas Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf Kalla, yang baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno turut hadir sebagai Tetamu Kehormat, bersama pelbagai ahli politik, pegawai kerajaan, anggota kor diplomatik dan wakil media.

Acara itu dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dan termasuk doa, diikuti dengan ucapan daripada Syed Md Hasrin dan Sandiaga, kedua-duanya menonjolkan kepentingan kerjasama dua hala.

Majlis turut diserikan dengan upacara memotong kek dan hidnagan bufet, sambil tetamu menikmati persembahan pemuzik terkenal Jerry Kamit, yang memainkan sape, alat muzik tradisional dari Sarawak.

Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, yang sudah lama dikenali di Malaysia, melahirkan rasa syukur kerana menjadi sebahagian daripada sambutan itu. Pada usia 67 tahun, umurnya menyamai tempoh kemerdekaan Malaysia.

Ketika ditanya mengenai harapannya bagi hubungan Malaysia-Indonesia, beliau menyeru keamanan yang berkekalan untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.

"Semoga kita terus berjaya dan semoga rahmat sentiasa mengiringi kita semua," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan