DUNIA > BERITA

PEMIMPIN NPP ANURA KUMARA DISSANAYAKE DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN SRI LANKA

23/09/2024 12:04 PM

COLOMBO, 23 Sept (Bernama-Xinhua) -- Calon Parti National People's Power (NPP) Anura Kumara Dissanayake muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden Sri Lanka yang diadakan pada Sabtu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya pada Ahad, lapor Xinhua.

Memandangkan tiada calon memperoleh lebih daripada 50 peratus undi, Suruhanjaya Pilihan Raya mengira pilihan kedua dan ketiga daripada dua calon utama, kali pertama dalam sejarah pilihan raya presiden Sri Lanka.

Dissanayake memperoleh 5,634,915 undi pada kiraan pertama dan 105,264 undi mengikut keutamaan semasa kiraan kedua.

Calon Parti Samagi Jana Balawegaya yang juga pesaing utamanya Sajith Premadasa memperoleh 4,363,035 undi dalam kiraan pertama dan 167,867 undi mengikut keutamaan pada kiraan kedua.

Dalam hantaran di platform media sosial X selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Dissanayake berkata: "Jutaan mata yang dipenuhi dengan harapan dan jangkaan mendorong kami ke hadapan, dan bersama-sama, kami bersedia untuk menulis semula sejarah Sri Lanka."

Penyandang presiden Ranil Wickremesinghe, gagal  dengan jumlah keseluruhan 2,299,767 undi.

Menurut Bahagian Media Presiden, Wickremesinghe menyampaikan ucapan khas selepas keputusan diumumkan.

Beliau berkata bahawa rakyat negara itu telah membuat keputusan dalam pilihan raya presiden, dan mereka mesti menghormati keputusan berkenaan serta bertindak mengikut mandat itu untuk memastikan kelancaran pentadbiran negara.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan