DUNIA > BERITA

KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT MALAYSIA DI LUBNAN MENJADI KEUTAMAAN, KATA KEMENTERIAN LUAR

23/09/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia sedang memantau perkembangan terkini di Lubnan berikutan serangan di Beirut dan menegaskan bahawa keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Lubnan menjadi keutamaan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah menghubungi rakyat Malaysia di Lubnan.

Berdasarkan rekod kedutaan, ia berkata terdapat 23 rakyat Malaysia yang mendaftar dengan kedutaan, dan kesemuanya dilaporkan selamat.

“Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, terus memantau perkembangan terkini di Lubnan berikutan serangan di Beirut dan peningkatan pertempuran merentasi sempadan di selatan Lubnan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian menasihatkan semua rakyat Malaysia yang tinggal di Lubnan untuk sentiasa berwaspada dan memberi perhatian yang tinggi kepada keselamatan mereka.

Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat atau pulang secara sukarela ke Malaysia jika merasakan keselamatan mereka terancam,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Luar juga menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Lubnan disebabkan situasi yang tidak stabil di negara itu.

Kementerian menyatakan bahawa kedutaan juga dalam komunikasi berterusan dengan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang sedang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) bagi memastikan keselamatan anggota pasukan keamanan kita.

“Semua penempatan dan tugas anggota MALBATT di Lubnan akan terus dikendalikan di bawah koordinasi UNIFIL,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut, yang terletak di Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan. Kedutaan boleh dihubungi melalui nombor telefon +961 7677 2527 dan +961 7138 0063, atau melalui emel di mwbeirut@kln.gov.my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan