EKONOMI > BERITA

AGROBANK LANCAR PROGRAM KOMUNITI CASHLESS DI TANJUNG MANIS

22/06/2024 06:50 PM

MUKAH, 22 Jun (Bernama) -- Agrobank terus memacu usaha ke arah mempromosikan transformasi Sarawak menuju masyarakat tanpa tunai dengan melancarkan Program Komuniti Cashless di Tanjung Manis, di sini hari ini.

Inisiatif bertunjangkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan untuk menjayakan agenda keterangkuman kewangan yang menyeluruh di Sarawak melalui revolusi sistem pembayaran digital dan urus niaga tanpa tunai (cashless) untuk dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak khususnya buat komuniti terpinggir dan di luar bandar.

Selain menyantuni komuniti luar bandar dan memperkasa golongan peniaga kecil dan mikro (SME), Program Komuniti Cashless Agrobank turut mempromosikan penggunaan ciri Agrobank DuitNow QR sebagai pilihan utama kaedah pembayaran yang menawarkan urusan transaksi kewangan lebih pantas, selamat dan cekap ke arah kecekapan kewangan yang mampan.

Melalui kelebihan itu Agrobank bukan lagi sekadar menyokong perniagaan kecil dan mikro ke arah pengurusan perniagaan yang lebih efektif malah turut menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Operasi Agrobank Zahid Ahmad Zawawi ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran itu berkata inisiatif ke arah masyarakat tanpa tunai telah dilaksanakan bersama Kerajaan Sarawak sejak setahun lalu.

“Sebelum ini kita buat di Daro melibatkan 100 penduduk tempatan dan peniaga. Hari ini kira-kira 200 orang terlibat. Insya-Allah, kita akan kembangkan lagi ke beberapa tempat termasuk di Lawas dan Limbang,” katanya sambil menyifatkan sambutan yang diberikan adalah sangat memberangsangkan.

Zahid berkata inisiatif tersebut adalah tanggungjawab Agrobank dalam memastikan masyarakat terutamanya usahawan mikro yang terlibat menerima pengetahuan berkaitan ekonomi digital supaya dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Ia merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan dan inklusif, melangkaui batasan perbankan konvensional dengan impak yang mendalam ke atas pemodenan sektor pertanian dan industri makanan di sepanjang rantaian nilai.

Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh yang diiringi Ahli Lembaga Pengarah Agrobank Mohammed Iqbal Mohamed Iqbal.

Pada majlis yang sama, Agrobank turut menyerahkan replika cek berjumlah RM869,000 kepada 25 usahawan sebagai simbolik kelulusan Dana Skim Mikro Sarawak (SKMS) bagi daerah Tanjung Manis selain mengumumkan sumbangan perlindungan bernilai RM2 juta melalui Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus.

Penyaluran dana bagi daerah Tanjung Manis itu bertujuan membantu golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat impak ekonomi dari pandemik COVID-19.

Turut berlangsung adalah penyerahan sumbangan zakat sebanyak RM5,000 kepada 100 penerima asnaf di Tanjung Manis.

Terdahulu, Len Talif merasmikan Kiosk Tanjung Manis Agrobank, ia sudah beroperasi sejak Mei 2023 bagi memenuhi keperluan kewangan komuniti tempatan dan pendalaman di daerah tersebut dengan 500 pembukaan akaun pelanggan baharu telah dibuat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan