EKONOMI > BERITA

KENANGA INVESTMENT BANK TINGKATKAN PEGANGAN DALAM MERCHANTRADE ASIA KEPADA 19.94 PERATUS

25/06/2024 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membeli tambahan sebanyak 15.20 peratus kepentingan ekuiti dalam Merchantrade Asia Sdn Bhd, pengendali perniagaan perkhidmatan wang (MSB) terbesar negara dan penggiat utama dalam bidang pembayaran digital.

Bank pelaburan itu dalam kenyataan hari ini berkata, selepas selesai, kepentingan ekuiti agregat kumpulan itu dalam Merchantrade akan menokok kepada 19.94 peratus berbanding 4.74 peratus sebelum ini, meletakkannya sebagai pemegang saham kedua terbesar selepas Pengarah Urusan dan Pengasas Merchantrade Ramasamy K. Veeran.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Chay Wai Leong berkata, langkah itu mencerminkan komitmen Kenanga Group untuk mengukuhkan hubungannya dengan syarikat dan menekankan dedikasi untuk menggalakkan perkongsian dalam ekosistem kewangan bagi meneroka sinergi dan memperluas tawaran inovatif.

Beliau berkata memandangkan dua jenama tempatan ini telah bertapak dalam landskap kewangan Malaysia, Kenanga Group dan Merchantrade berkongsi visi dan hasrat yang sama untuk memacu inovasi digital dan membentuk semula industri kewangan.

“Kepentingan ekuiti kami yang meningkat dalam Merchantrade memperlihatkan komitmen kami untuk memanfaatkan teknologi sedang pesat membangun untuk merevolusikan kaedah penyampaian perkhidmatan kewangan.

“Kami bersedia untuk bersama-sama mempercepat usaha kolektif kami untuk menyampaikan penyelesaian inovatif dan meningkatkan pengalaman digital kepada pelanggan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebagai pengendali MSB terbesar negara dan penggiat utama dalam bidang pembayaran digital, Merchantrade dikenali dengan penyelesaian inovatifnya.

Seiring dengan jumlah pelanggan yang luas melebihi lima juta sejak penubuhannya, syarikat itu memberikan perkhidmatan kepada pelanggan menerusi platform digital, saluran berasaskan aplikasi dan rangkaian fizikal yang meluas di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan