EKONOMI > BERITA

KERJASAMA KERAJAAN PULAU PINANG-MAXIS AKAN LONJAK PEMBANGUNAN KEMAHIRAN DIGITAL

02/07/2024 11:05 AM

GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang dan Maxis bekerjasama untuk menyokong pembangunan kemahiran digital dan pembelajaran digital serta mendorong penerimagunaan digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini.

Dalam kenyataan pada Isnin, penyedia telekomunikasi itu menjelaskan menerusi kerjasama tersebut Maxis akan menyediakan latihan kemahiran pemasaran digital untuk golongan usahawan dan belia selain memperluas capaian sumber pembelajaran digital dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah Pulau Pinang.

Maxis memaklumkan semua inisiatif itu akan disampaikan melalui program komuniti utama Maxis, eKelas dan eKelas Usahawan.

Maxis eKelas Usahawan ialah program dengan prestasi yang terbukti, melatih hampir 7,000 usahawan sejak 2021 selain menyediakan bengkel pemasaran digital percuma untuk melatih usahawan dan belia mengenai strategi pemasaran digital, perancangan kempen, fotografi, reka bentuk grafik, penggunaan kecerdasan buatan (AS) generatif dan penulisan pemasaran.

Sehingga kini, Maxis eKelas Usahawan telah mencapai lebih 440 usahawan di Pulau Pinang.

Maxis eKelas pula merupakan sebuah program pembelajaran digital selepas sekolah yang disediakan secara percuma untuk pelajar Tahun Empat hingga Tingkatan Lima, menawarkan kandungan pendidikan yang menarik sejajar dengan sukatan pelajaran Malaysia kepada pelajar di seluruh negara, termasuk pelajar daripada komuniti luar bandar dengan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah antara daripada bidang tumpuannya.

Maxis eKelas telah mencapai pertumbuhan yang berterusan dengan jumlah pengguna berdaftar melebihi 120,000 orang setakat ini, termasuk 3,700 pengguna dari Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata usaha kerjasama itu boleh memupuk para usahawan dan belia yang bersedia untuk masa hadapan dan mampu berkembang maju dalam ekonomi digital.

Timbalan Ketua Menteri II dan Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi negeri Jagdeep Singh Deo pula menekankan kepentingan kemahiran dan pembelajaran digital bagi memacu agenda pertumbuhan inklusif negeri.

“Sebagai sebahagian daripada visi inklusif ini, kami ingin memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital dan membangunkan masyarakat yang terlibat secara digital.

“Selaras dengan ini, kami berharap dapat bekerja rapat dengan pihak Maxis dalam program komuniti utama mereka mengenai pemasaran digital dan pembelajaran selepas sekolah,” katanya dalam kenyataan yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan