EKONOMI > BERITA

RAJA TEH MAIMUNAH DILANTIK SEBAGAI PENGARAH KEPENTINGAN AWAM DAN PENGARAH BEBAS BUKAN EKSEKUTIF

28/06/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aeon Bank (M) Bhd Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz telah dilantik sebagai Pengarah Kepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bursa Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 Julai 2024.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu dibuat oleh Menteri Kewangan menurut Seksyen 10(1)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Raja Teh Maimunah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan, meliputi pelaburan, borong, perbankan Islam dan digital.

Beliau juga kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagai Pemegang Amanah Amanah Warisan Negara.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank dan Pengarah Urusan Perbankan Borong, Kumpulan AmBank.

Beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank Bhd dan Ketua Pegawai Operasi Inovasi Digital dan Perbankan Urus Niaga di Kumpulan Perbankan Hong Leong.

Raja Teh Maimunah pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Islam Global di Bursa Malaysia antara tahun 2009 dan 2011, beliau mengetuai penubuhan Bursa Suq Al-Sila’, platform dagangan komoditi patuh syariah pertama di dunia.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata pengalamannya dalam kewangan Islam dan perbankan digital akan memberi sumbangan besar kepada inovasi dan usaha pertumbuhan mereka sebagai pertukaran pelbagai aset untuk membina pasaran modal Malaysia yang kukuh, bertenaga dan inklusif.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan