EKONOMI > BERITA

KEGEMILANGAN MINYAK SAWIT SELAMA SETENGAH ABAD DI CHINA

30/06/2024 04:21 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Berikutan tahun 2024 menandakan hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Beijing selama lima dekad, sewajarnya perhatian perlu diberikan kepada pencapaian Malaysia dalam meraih penghormatan sebagai pengeksport minyak sawit pertama China, kejayaan penting yang dicapai pada pertengahan 1980an.

Daripada bibit persahabatan itu, kedua-dua negara Asia ini telah menjalinkan dan mengekalkan hubungan perniagaan yang membuahkan hasil, berkembang melebihi eksport minyak sawit mentah bagi melingkungi kerjasama strategik dalam pemprosesan hiliran, dengan kemampanan sebagai terasnya.

Memperingati ulang tahun ke-50 Malaysia dan China adalah susulan penandatangan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

 

Mengapa China pasaran utama bagi Malaysia?

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron berkata, dengan populasi berjumlah 1.4 bilion, tidak dinafikan bahawa China merupakan pasaran penting bagi Malaysia.

Ia menghasilkan permintaan yang ketara bagi minyak dan lemak, berjumlah kira-kira 42.0 juta tan setiap tahun, dengan 25 peratus hingga 30 peratus daripada permintaan ini dipenuhi menerusi import.

“Permintaan yang semakin bertambah dan defisit pengeluaran mewujudkan peluang besar kepada Malaysia. Kehampiran geografi antara kedua-dua negara meningkatkan lagi peranan Malaysia dalam merapatkan apa-apa jurang bekalan-permintaan, terutama ketika tempoh apabila faktor geopolitik menjejaskan rantaian bekalan,” katanya kepada Bernama.

Belvinder berkata walaupun ekonomi China berdepan kelembapan baru-baru ini, status China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia memastikan permintaan minyak sawit yang konsisten dan meningkat

Selain itu, tanah suai tani yang terhad dan ekonomi yang semakin berkembang memperlihatkan bahawa China dijangka meningkatkan import minyak sayurannya, termasuk minyak sawit.

Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan ekonomi China berkembang sebanyak lima peratus tahun ini dan 4.5 peratus pada 2025.

Belvinder berkongsi beberapa data dan menurutnya pada 2023, Malaysia mengeksport 3.05 juta tan produk sawit ke China, terutama yang terdiri daripada minyak sawit dan oleokimia.

Menurutnya kedua-dua kategori ini adalah komponen utama, masing-masing menyumbang 48 peratus dan 20 peratus daripada jumlah eksport.

Produk lain termasuk minyak isirung sawit turut menyumbang kepada portfolio eksport ini.

Pecahan minyak sawit utama yang dieksport dari Malaysia ke China adalah olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan stearin sawit RBD, yang membentuk 50 peratus dan 38 peratus daripada eksport minyak sawit pada 2023.

Olein sawit RBD digunakan terutama di China untuk menggoreng mi segera, sebagai minyak masak dalam pemprosesan makanan dan katering, dan dalam pembuatan makanan manakala stearin sawit RBD digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan pelbagai oleokimia.

Belvinder berkata baru-baru ini kek isirung sawit semakin popular di China sebagai bahan mentah alternatif untuk pengeluaran makanan haiwan, membantu mengurangkan pergantungan kepada makanan kacang soya yang diimport. 

 

Memperkukuh hubungan

Sejak 1990an, MPOC telah terlibat secara aktif dengan pihak berkepentingan China melalui inisiatif kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan, memperlihatkan minyak sawit yang serba guna dan bermanfaat kepada kesihatan.

Seminar, sidang kemuncak dan forum telah memudahkan interaksi langsung antara pembekal Malaysia dan rakan sejawat dari China, menggalakkan hubungan perniagaan baharu dan meningkatkan hubungan sedia ada.

"MPOC menubuhkan pejabat perwakilan di Shanghai pada 2002 untuk menguruskan aktiviti ini dengan lebih baik dan berperanan sebagai pusat tumpuan bagi industri China.

"Pejabat ini berperanan penting dalam menguruskan inisiatif pemasaran, menghimpunkan risikan pasaran mengenai permintaan import dan perubahan dasar, dan bekerjasama erat dengan pengimport China untuk memenuhi permintaan mereka terhadap minyak sawit mampan dalam sektor makanan dan bukan makanan," kata Belvinder.

 

Matlamat pembangunan mampan China

Belvinder berkata China kini bergiat aktif menuju kemampanan meskipun peraturan khusus terhadap minyak sawit mampan masih belum diperkenalkan.

Rancangan Pembangunan Lima Tahun Ke-14 (2021-2025) negara itu menekankan transformasi hijau dalam pembangunan ekonomi dan sosial, mengetengahkan penggunaan hijau sebagai elemen utama dalam membina ekonomi hijau.

“Walaupun dasar formal yang mewajibkan minyak sawit mampan masih lagi dibangunkan, beberapa pemproses makanan utama China telah mula menggunakan minyak sawit mampan.

“Perubahan ini adalah sebahagian daripada strategi mereka untuk menyumbang kepada pembangunan mampan dan seiring dengan matlamat kemampanan global. Apabila proses itu berterusan, lebih banyak syarikat dijangka menempatkan minyak sawit mampan dalam operasi mereka,” katanya.

Belvinder menekankan bahawa pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah semakin penting, yang memikul tanggungjawab alam sekitar dan sosial dan berupaya memainkan peranan utama dalam memenuhi permintaan China yang semakin bertambah untuk produk mampan.

 

Mencipta masa depan yang berhasil 

Berikutan pasaran China berkembang lebih canggih dan kalangan pengguna yang semakin mementingkan kesihatan, MPOC menjangka peralihan daripada produk minyak sawit konvensional seperti olein sawit RBD dan stearin sawit kepada alternatif bernilai tinggi seperti minyak sawit merah yang kaya dengan karotena, lemak khusus, dan minyak sayuran rawatan hidro sekali gus memenuhi trend baharu permintaan.

Kerjasama selanjutnya dalam penyelidikan dan pembangunan produk adalah dijangkakan, yang berpotensi melalui usaha sama di Malaysia atau China.

“Perkongsian ini akan melebihi sektor makanan dan bukan makanan untuk menyertakan biotenaga, terutama dalam bahan api penerbangan mampan, dengan Malaysia berhasrat untuk menjadi pembekal utama.

“Perkembangan ini dijangka meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit pada dekad akan datang,” katanya.

Belvinder berkata MPOC pula akan terus mengguna pakai pelbagai pendekatan untuk mempromosikan minyak sawit di China, membabitkan pihak berkepentingan industri, pakar kesihatan dan agensi kerajaan untuk menyerlahkan manfaat dan serba gunanya.

“Kami yakin bahawa usaha kerjasama ini akan meningkatkan pemahaman dan penerimaan minyak sawit merentas pelbagai sektor pasaran China,” katanya.

Belvinder berkata, memandangkan tanah suai tani di China yang terhad, negara itu akan terus mengalami kekurangan minyak sayuran keluaran tempatan, menjadikannya sebagai pengimport bersih pada masa depan.

"Sebagai minyak sayuran serba guna dan dihasilkan secara meluas di seluruh dunia, permintaan minyak sawit di China dijangka meningkat. Oleh itu, China akan kekal sebagai pasaran penting bagi industri minyak sawit Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan