EKONOMI > BERITA

RINGGIT DIJANGKA NAIK KEPADA RM4.43 BERBANDING DOLAR AS PADA AKHIR TAHUN - MIDF AMANAH

02/07/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 dan mengakhiri tahun ini lebih kukuh pada RM4.43 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) semakin hampir untuk menurunkan kadar faedah, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Amanah).

Kemasukan banyak dana asing ke pasaran pesat membangun dijangka memberi manfaat kepada mata wang serantau dan ringgit.

"Jangkaan pemulihan bagi perdagangan luar Malaysia dan prospek ekonomi yang optimis dijangka meningkatkan prestasi ringgit tahun ini.

"Harga komoditi yang tinggi akan turut mendorong peningkatan permintaan terhadap ringgit. Selain itu, ringgit mungkin meraih manfaat daripada jangkaan pengurangan dasar oleh bank pusat utama manakala Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR (Kadar Dasar Semalaman) pada 3.0 peratus tahun ini," katanya dalam nota hari ini.

Walaupun terdapat keyakinan kepada peningkatan ringgit pada akhir 2024, MIDF Amanah tetap berwaspada dengan risiko penurunan, terutama daripada faktor luaran.

Sebagai contoh, pertumbuhan yang  lemah di China dan AS serta ketegangan geopolitik yang meningkat boleh memberi kesan negatif kepada pemulihan perdagangan luar Malaysia sekali gus mengurangkan sokongan terhadap ringgit.

Ia juga menegaskan pengukuhan lanjut dolar AS, terutama sekiranya Fed menangguhkan lagi pengurangan kadar berikutan inflasi yang berterusan tinggi atau pertumbuhan ekonomi AS yang lebih kukuh berbanding jangkaan, akan turut melemahkan prospek ringgit.

Pada Jun, Indeks Ringgit Berwajaran Perdagangan (TWRI) MIDF meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 86.25, memperlihatkan prestasi cemerlang ringgit berbanding mata wang rakan dagangan Malaysia.

Setakat ini, indeks itu meningkat sebanyak 1.1 peratus, disokong oleh keuntungan ringgit berbanding yen Jepun (10.3 peratus), won Korea (3.8 peratus) dan baht Thailand (3.8 peratus).

BMI - syarikat Fitch Solutions - turut menjangkakan ringgit meningkat pada akhir tahun ini, menokok daripada RM4.70 berbanding dolar AS pada masa ini kepada RM4.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024.

BMI menjangkakan pada 2025 ringgit mengukuh 3.3 peratus, mencecah RM4.40 berbanding dolar AS.

"Dalam jangka sederhana, kami berpandangan positif terhadap ringgit memandangkan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil dengan AS dan prospek pertumbuhan yang agak kukuh perlu kekal menyokong mata wang itu," katanya.

BMI telah menyemak unjuran kadar dana Fed bagi akhir 2024 kepada 5.0 peratus daripada 4.75 peratus, menandakan perbezaan hasil yang mengecil akan menyokong ringgit, terutama jika BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.

"Risiko terhadap ramalan kami sebahagian besarnya bergantung kepada trajektori kadar faedah Fed dan pemulihan China," katanya dalam nota.

Dari perspektif pertumbuhan, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang agak kukuh berbanding AS akan memberi petanda baik terhadap sentimen pelabur dan menyediakan sentimen yang menggalakkan untuk ringgit.

Oleh itu, BMI menjangka pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia akan meningkat daripada 3.7 peratus pada 2023 masing-masing kepada 4.4 peratus dan 4.5 peratus pada 2024 dan 2025.

Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berdaya tahan akan terus menyokong ringgit, kata BMI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan