EKONOMI > BERITA

GETAH : KPK TELITI MODEL KONSOLIDASI PEKEBUN KECIL BAGI TINGKAT PRODUKTIVITI

02/07/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti model konsolidisasi atau penyatuan pekebun kecil getah mengikut kluster iaitu 500 hingga 1,000 hektar untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran getah serta mengurangkan kos.

Usaha itu melibatkan tiga tahap dalam rantaian nilai industri getah iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.

Cadangan berkenaan dijangka dilaksanakan di tiga negeri yang mempunyai tumpuan kawasan tidak bertoreh tinggi iaitu masing-masing Kelantan berkeluasan 34,621 hektar, Kedah (24,058 hektar) dan Pahang (19,481 hektar).

“Kita ambil maklum 420,000 hektar tanaman getah yang sudah matang tetapi tidak ditoreh. Ini berpunca daripada dua faktor kekurangan penoreh dan harga getah yang rendah.

“Menerusi konsep kluster, rantaian pemasaran dapat dipendekkan dengan kilang pemprosesan getah membeli getah secara terus daripada kluster pekebun kecil yang dibentuk dan seterusnya memberi harga lebih menguntungkan pekebun kecil,” kata KPK dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini. 

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai rancangan meningkatkan jumlah kebun dan estet yang ditoreh, pelan jangka masa pendek dan panjang untuk peningkatan produktiviti getah dan seterusnya membantu penoreh meraih pendapatan lebih tinggi.

KPK berkata 93 peratus daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di Malaysia merangkumi pekebun kecil dan tujuh peratus estet.

Sebanyak 217,000 pekebun kecil terlibat dalam pengeluaran getah asli di Malaysia dengan 195,000 pekebun kecil aktif memperbaharui Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) setiap tiga tahun.

“Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan keluasan kebun, sebaliknya ingin menumpukan kepada usaha meningkatkan pengeluaran getah asli daripada pokok getah sedia ada dengan memperkenalkan dasar menggalakkan lebih ramai penoreh,” katanya.

Pada 2023, Malaysia menghasilkan sejumlah 348,000 tan metrik getah asli berbanding 377,000 tan metrik pada 2022.

Malaysia juga mengimport sejuta tan metrik getah asli bernilai RM5.7 bilion berbanding 1.16 juta tan metrik bernilai RM7.2 bilion pada 2022.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan