EKONOMI > BERITA

SCHNEIDER ELECTRIC, INTI KERJASAMA SEDIAKAN TENAGA KERJA MASA DEPAN

03/07/2024 03:52 PM

PETALING JAYA, 3 Julai (Bernama) -- Schneider Electric bekerjasama dengan INTI International University & Colleges dalam usaha menangani permintaan yang semakin meningkat terhadap bakat mahir di Malaysia dan menyediakan tenaga kerja masa depan.

Kerjasama itu tepat pada masanya memandangkan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) melaporkan di Pulau Pinang sahaja berlaku kekurangan 50,000 jurutera, yang menghalang pertumbuhan industri semikonduktor dan pembangunan ekonomi negara.

Presiden Schneider Electric untuk Malaysia Eugene Quah menekankan pendekatan strategik dan menyeluruh dalam merapatkan jurang bakat.

“Menangani jurang bakat menuntut pendekatan strategik dan inklusif yang menampung bakat baharu dan tenaga kerja sedia ada.

“Membangunkan kerjasama antara syarikat perniagaan dan universiti adalah penting, kerana kerjasama ini menyediakan peluang melengkapkan semua generasi dengan pembelajaran, peningkatan kemahiran dan peluang pembangunan berterusan,” katanya pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Schneider Electric dan INTI International University & Colleges di sini baru-baru ini. 

Selaras dengan Matlamat 4 dan 8 dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) yang mendukung inklusif, pendidikan berkualiti serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan, kerjasama ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pelajar INTI dan menyokong pertumbuhan profesional petugas Schneider Electric.

Program kerjasama Schneider Electric dengan INTI International University & Colleges itu merangkumi Schneider Internship Programme, Schneider Graduate Programme, Schneider Global Student Experience, dan pertandingan Schneider Go Green yang menyediakan kepada pelajar pengalaman latihan amali.

“Menerusi kerjasama dengan INTI ini, kami mampu menyediakan tenaga kerja masa depan dengan merapatkan jurang akademik dan industri serta menyediakan platform kepada pelajar untuk menerapkan pengetahuan teori dalam amali," katanya.

INTI katanya akan menawarkan peluang kepada petugas Schneider Electric untuk menyertai program disediakan buat pekerja profesional pada kadar berpatutan, sekali gus menggalakkan mereka meningkatkan kemahiran dan kekal relevan dalam industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INTI International University and Colleges Chong Kok Wai berkata peningkatan kemahiran bukan sekadar pelaburan dalam kerjaya seseorang tetapi juga penting untuk meningkatkan standard industri serta mengekalkan pertumbuhan perniagaan.

“Menerusi kerjasama ini, kami melengkapkan tenaga kerja sedia ada dan bakat masa depan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dan membantu merapatkan jurang kekurangan bakat,” katanya.

Beliau berkata inisiatif seumpama itu berperanan sebagai pelan untuk mengurangkan jurang bakat mahir dan memupuk persekitaran kerjasama antara akademik dan industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan