EKONOMI > BERITA

KERAJAAN TUMPU LAKSANA SUBSIDI DIESEL SEHINGGA SASARAN STABIL - KEMENTERIAN EKONOMI

04/07/2024 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Ekonomi menegaskan tumpuan dan keutamaan kini diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidinya menstabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan. 

Namun,  kerajaan juga sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. 

“Inisiatif penyasaran subsidi bahan api yang telah dimulakan dengan subsidi diesel ini dijangka dapat memastikan kemampanan ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan susulan aktiviti penyeludupan dan impak kepada kos sara hidup rakyat. 

"Melalui pendekatan ini, penyasaran subsidi diesel dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion dan dapat memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini. 

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  (BN-Bera) yang mahu mengetahui bilakah subsidi bersasar akan dilaksanakan dan apakah mekanisme pelaksanaan tersebut. 

Mengulas lanjut, kementerian itu berkata berdasarkan tanggungan yang besar bagi subsidi bahan api sedia ada, terdapat keperluan untuk kerajaan menyasarkan semula subsidi bahan api dan usaha itu juga dijangka dapat membantu negara mencapai sasaran defisit fiskal antara 3.5 peratus hingga 3.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2025. 

Sementara itu, menjawab persoalan apakah berlaku pertindihan di antara program Pangkalan Data Utama (PADU) dan Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI Madani), Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa berdasarkan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam merangka serta melaksanakan agenda pembangunan negara, program-program yang sedang dilaksanakan adalah saling berhubung kait dan mendokong matlamat kerajaan.

"Pada masa kini, PADU masih lagi dalam peringkat penambahbaikan dan pengintegrasian data akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa," kata kementerian itu.  

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan