EKONOMI > BERITA

MIDA, ALLIANCE BANK ANJUR BENGKEL TEROKA AMALAN PERINDUSTRIAN MAMPAN

18/09/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Alliance Bank Malaysia Bhd menganjurkan bengkel Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) yang pertama kali diadakan bagi meneroka potensi mekanisme itu dalam usaha merevolusi amalan perindustrian mampan.

CBAM merujuk kepada cukai sempadan karbon yang bertujuan mengelak pelepasan karbon dengan mengenakan harga berpatutan bagi pelepasan berkenaan daripada barangan yang memasuki negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Dalam kenyataan bersama hari ini, MIDA dan Alliance Bank berkata dianggarkan 75 peratus daripada eksport Malaysia ke EU akan terjejas walaupun ianya secara kolektif menyumbang kira-kira lapan peratus daripada jumlah eksport negara bagi tempoh 2021-2023.

Kalangan pengeksport Malaysia, terutama yang bergantung kepada jualan EU dan terbabit dalam penghasilan produk berintensifkan karbon seperti simen, besi dan keluli, aluminium, baja, elektrik dan hidrogen akan terjejas dalam fasa awal pelaksanaannya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil berkata kementerian itu sedang giat melakukan libat urus dengan rakan antarabangsa untuk menggalakkan ekonomi rendah karbon, memastikan kepentingan Malaysia turut diwakili dalam rundingan iklim global serta memudahkan perdagangan untuk pengeksport yang terjejas akibat CBAM.

“Peralihan kepada ekonomi rendah karbon memberi cabaran serta peluang untuk Malaysia. Walaupun ini adalah cabaran kawal selia baharu, CBAM turut memberi insentif kepada amalan mampan dan dapat meningkatkan lagi daya saing jangka panjang perniagaan kita.

“Menerusi perancangan strategik dan sokongan kerajaan, kita dapat mengemudi peralihan ini dengan jayanya serta memacu inovasi, meningkatkan menambah baik kelebihan persekitaran kita selain meraih kedudukan penting dalam pasaran global," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyifatkan adala penting untuk semua yang terbabit dalam rantaian bekalan pengimport Eropah memahami keperluan CBAM secara menyeluruh serta bersiap sedia memenuhi peraturan baharu berkenaan.

“Berganjak kepada amalan lebih lestari ini bukan setakat kekangan kawal selia, tetapi menjadi peluang untuk melakukan inovasi, meningkatkan kecekapan serta meletakkan perniagaan Malaysia di barisan hadapan perdagangan mampan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank Dr Aaron Sum berkata bank berkenaan telah membangunkan hubungan jangka panjang dengan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang turut memberi manfaat kepada penyelesaian kewangan dan bukan kewangan bagi mendorong pertumbuhan perniagaan.

“Kerjasama ini akan membantu kita menjangkau lebih banyak perniagaan, terutama pengeluar dan pengeksport tempatan yang paling banyak terjejas dengan dasar CBAM serta membantu mereka dalam menyediakan pelan hala tuju perniagaan yang bersesuaian,” katanya.

Bengkel yang menghimpunkan pemimpin industri dan pakar alam sekitar dari Riverstone Environmental Sdn Bhd merangkumi tiga bahagian dengan tumpuan terhadap impak CBAM ke atas perniagaan, pelaksanaan tempoh atau garis masa, proses pematuhan serta strategi bagi mengendalikannya usaha itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan