EKONOMI > BERITA

KERAJAAN DISARAN TANGANI JURANG GRID NASIONAL UNTUK DORONG PENGELUARAN TBB

23/09/2024 10:43 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan Malaysia perlu memperuntukkan lebih banyak sumber untuk menambah baik pencawang dan grid nasional, kata Asiarecs Pte Ltd Singapura.

Ketua Peniaga Asiarecs, Louis Looi berkata langkah ini akan membantu menghindarkan isu seperti dialami Vietnam yang bergelut dengan had grid tenaga yang mengehadkan pengeluaran tenaga boleh baharu (TBB) walaupun negara itu adalah pengeluar tenaga solar terbesar di Asia Tenggara.

“Memandangkan  Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) bergantung kepada pengeluaran TBB, penambahbaikan infrastruktur grid adalah penting," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini untuk berkongsi harapan Asiarecs terhadap Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada 18 Oktober ini.

Asiarecs mempunyai kepakaran untuk membantu pelanggan korporat mencapai pelepasan skop 2 matlamat kemampanan melalui REC, dengan membantu pelanggan memperoleh, memegang dan menebus REC.

Looi berkata ketika ini, beberapa syarikat masih belum membuat keputusan untuk memasang panel solar tambahan kerana tidak cukup pencawang untuk menyokongnya.

Ini menyebabkan tidak banyak pemasangan, justeru penawaran REC adalah kecil.

"Memperkukuh grid dan infrastruktur sokongan akan membantu menangani perkara ini dan meningkatkan pengambilan sumber TBB," katanya.

Menurut Looi kesedaran pasaran mengenai REC telah meningkat ketara di Malaysia sejak perdagangan komersial REC dilancarkan melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS) pada Mei tahun ini.

Walaupun pada masa ini mGATS adalah terhad kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan peniaga seperti Asiarecs masih belum dapat berdagang secara terus, platform itu telah mencetuskan minat yang lebih tinggi terhadap REC, katanya.

"Matlamat kami sebagai sebuah syarikat adalah untuk memudahkan kalangan syarikat untuk mengurus dan mengurangkan pelepasan Skop 2 masing-masing melalui penyelesaian inovatif dan memudahkan pembelian REC," katanya.

Malaysia menjana 30,627 gigawatt jam (GWh) TBB pada 2022, dengan hanya 11,602 GWh telah dikeluarkan sebagai REC, mewakili 37 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Lebihan 63 peratus lagi tidak dikeluarkan, sebahagian besarnya adalah berikutan kurangnya kesedaran mengenai REC.

Looi berkata pelbagai usaha lagi perlu dilaksanakan, dan komunikasi secara langsung boleh menjadi pemacu utama memandangkan banyak perniagaan mengakui manfaat kewangan menyertai REC, yang seterusnya mengurangkan pergantungan kepada tenaga grid, yang sering dihasilkan daripada sumber pencemaran.

Setakat ini, Asiarecs telah mendaftarkan lebih 150 projek di Singapura. Syarikat ini memberi tumpuan untuk membantu pemilik aset TBB di Malaysia untuk mendapat akreditasi tanpa mengambil kira saiz projek.

 

Impak strategik terhadap sistem REC Malaysia pengaruhi peralihan tenaga negara

Menurut Looi REC berpotensi untuk mempercepat peralihan tenaga Malaysia dengan membenarkan pemilik aset TBB menjana pendapatan tambahan melalui penjualan REC yang tidak digunakan.

Syarikat di Malaysia yang memerlukan TBB boleh membeli REC untuk memperlihatkan komitmen mereka terhadap kemampanan, menyokong sektor TBB negara, katanya.

"Kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara, disertai pula dengan negara jiran seperti Singapura dan Thailand, yang menggunakan tenaga tinggi, meletakkannya pada kedudukan unik.

“Berikutan lebihan TBB, Malaysia berpotensi menjadi negara pengeksport, dan ditambah pula dengan REC, menambah baik pasaran tenaga negara dalam jangka panjang," katanya.

Looi berkata REC telah diperakui sebagai antara inisiatif untuk mempercepat peralihan ke arah negara rendah karbon dalam Pelan Hala Tuju TBB Malaysia 2021-2035.

 

 

Pendekatan Malaysia terhadap perdagangan REC

Menurutnya pasaran dagangan REC di Malaysia masih berasingan yang melibatkan tiga platform utama iaitu Bursa Malaysia, mGATS TNB dan dagangan atas kaunter (OTC).

Wujud kekurangan dari segi mudah tunai, dengan hanya 37 peratus daripada TBB ditukar kepada REC pada 2022, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai REC dalam kalangan pemilik aset TBB.

"Satu kaedah untuk mencapai matlamat ini adalah mewajibkan syarikat untuk menyokong peratusan tertentu penggunaan tenaga dengan REC, dan menyelaraskannya dengan matlamat pelepasan sifar bersih kerajaan pada 2050,” kata Looi.

Beliau berkata peningkatan permintaan akan menaikkan harga REC dan seterusnya menggalakkan penyertaan.

Dalam perspektif yang lebih luas, katanya cabaran utama REC di Asia Tenggara adalah kekurangan import dan eksport tenaga rentas sempadan yang aktif, tidak seperti Kesatuan Eropah yang mempunyai grid tenaga yang lebih bersepadu.

"Sekiranya grid tenaga Asia Tenggara saling berhubung sepenuhnya dan perdagangan bebas tenaga dibenarkan, ia akan memberi manfaat besar kepada industri REC. Peluang dalam industri ini sangat luas tetapi masih dalam peringkat awal," katanya.

Looi berkata terdapat peluang yang luas terhadap pertumbuhan dan inovasi seperti pelancaran Energy Exchange Malaysia baru-baru ini yang membolehkan TBB dibeli dan dijual antara Malaysia dan Singapura, yang disertakan dengan REC.

Beliau berkata inisiatif sedemikian menunjukkan masih terdapat ruang untuk pertumbuhan dan pembangunan selanjutnya dalam pasaran tenaga di rantau ini.

   

Meningkatkan inisiatif tenaga bersih Malaysia

Menurut Looi, selain Singapura, Malaysia turut mendahului banyak negara jiran dalam inisiatif tenaga bersih.

Beliau berkata penambahbaikan dari segi dasar dan mekanisme baru-baru ini seperti Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), mewujudkan lebih banyak peluang untuk syarikat menerima guna penyelesaian TBB.

 "Program baharu ini bertujuan meningkatkan akses pengguna korporat kepada elektrik hijau dengan memberi mereka peluang untuk mendapatkan bekalan elektrik secara terus daripada pengeluar TBB.

"Ini menunjukkan peralihan yang ketara daripada model pembeli tunggal kepada pembangunan pasaran elektrik yang diliberalisasikan. CRESS dijangka mengurangkan risiko dan kos sistem bekalan elektrik Malaysia di samping menawarkan peluang kepada penggiat industri untuk bersaing," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan