EKONOMI > BERITA

CAPITAL A ADAKAN EGM PADA 14 OKT, 2024 UNTUK PELUPUSAN PERNIAGAAN PENERBANGAN

23/09/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Capital A Bhd akan mengadakan mesyuarat agung luar biasanya (EGM) pada 14 Okt, 2024 bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk pelupusan perniagan penerbangannya kepada AirAsia X (AAX).

Pengendali syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia itu berkata langkah utama berkenaan adalah sebahagian usaha strategiknya untuk memperkemaskan dan memacu pertumbuhan jangka panjang perniagaan penerbangan dan bukan penerbangannya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes berkata kesan pro forma bagi cadangan pelupusan itu berdasarkan penyata kewangan 31 Dis, 2023 seperti yang terkandung dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 20 Sept, 2024, menjadikan ekuiti pemegang saham Capital A beralih kepada positif RM649 juta daripada negatif RM8.8 bilion.

"Kami berharap untuk mendapat sokongan pemegang saham kami pada EGM itu dan sokongan daripada pemegang Sekuriti Hutang Islam Tidak Bercagar Boleh Tukar Boleh Tebus (RCUIDS) pada mesyuarat akan datang ketika kami memulakan perjalanan transformatif ini untuk pertumbuhan Capital A yang seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat untuk pemegang RCUIDS akan diadakan pada 14 Okt 2024.

Capital A berkata syarikat itu akan mendapatkan perintah mahkamah untuk meneruskan cadangan agihan saham kepada pemegang saham menerusi pengurangan dan pembayaran semula modal saham terbitan syarikat selepas mendapat kelulusan pemegang saham di EGM.

Langkah-langkah kritikal ini akan membolehkan Capital A mencapai lembaran imbangan yang baik dan menumpukan pada penyerahan pelan penyelarasannya tidak lama lagi, dengan tujuan untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17), katanya.

Sementara itu, Fernandes berkata syarikat itu percaya langkah pelupusan itu seiring dengan strategi syarikat untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan meletakkannya sebagai syarikat yang dipacu teknologi.

“Perniagaan bukan penerbangan kami akan lebih menyerlah dan menerima pengiktirafan yang sepatutnya, manakala perniagaan penerbangan akan berubah menjadi kumpulan AirAsia baharu, dengan sinergi antara operasi jarak dekat dan jarak jauh meningkatkan kecekapan, keuntungan dan pulangan untuk pemegang saham," katanya.

Fernandes menyifatkan langkah itu sebagai peristiwa yang transformatif dan pencetus perubahan bagi Capital A. 

“Pelupusan perniagaan penerbangan kami kepada AAX akan membolehkan Capital A menumpukan perhatian kepada empat teras yang akan menentukan masa depan kumpulan kami, iaitu perkhidmatan penerbangan kami, Move Digital, Teleport (Logistik) dan syarikat Jenama AA,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan