EKONOMI > BERITA

SC PERKENAL KERANGKA BAGI SKIM INSENTIF "FAMILY OFFICE"

23/09/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memperkenalkan kerangka skim insentif “Family Office” baharu yang bertujuan menambah baik landskap pelaburan Malaysia.

Dalam kenyataan pada Isnin, SC menjelaskan skim itu menawarkan kadar cukai konsesi sifar peratus ke atas pendapatan yang dijana oleh pelaburan yang layak daripada “Single Family Office Vehicle” (SFOV). 

Forest City akan menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menyediakan insentif itu.

Insentif itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu SFOV mesti menubuhkan dan mengendalikan pejabat berdaftar di Pulau 1, Zon Kewangan Khas Forest City, dan insentif akan tersedia selama 20 tahun, dibahagikan kepada tempoh 10 tahun awal diikuti dengan 10 tahun berikutnya.

“SFO atau syarikat pengurusan mungkin tidak perlu mendapatkan lesen tertentu di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) seperti untuk pengurusan dana, selagi ia hanya menyediakan perkhidmatan untuk syarikat berkaitannya, SFOV,” tambahnya.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata skim SFO meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi keluarga serantau dan tempatan untuk menguruskan kekayaan mereka.

“Anggaran pengganda ekonomi bagi inisiatif ini, termasuk keperluan asas tempatan, diunjurkan antara RM3.9 bilion hingga RM10.7 bilion.

“Ini juga merangkumi penciptaan guna tenaga mahir dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan sampingan,” katanya.

SC menjelaskan SFOV yang layak boleh memohon pensijilan bagi tujuan insentif cukai, dengan syarat mereka memenuhi syarat yang diperlukan.

SC sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengendalikan skim itu pada suku pertama 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan