SUAMI ISTERI DIDAKWA PALSUKAN BORANG JPPH

26/06/2024 12:36 PM

SEREMBAN, 26 Jun (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemalsuan enam borang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Mohammed Hafiz Baharudin, 48, dan Hazlin Suraya Halim, 43, masing-masing tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tuan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai pengarah sebuah syarikat memasukkan pernyataan palsu pada enam borang JPPH dengan niat menipu antara 17 Sept 2019 hingga 3 Julai 2020 di JPPH Seremban.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh.

Mohammed Hafiz memohon jaminan dikurangkan atas alasan mereka tidak berniat menipu.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan